Penting Pertahankan DUN Mahkota, Bawa Semangat Kemenangan Ke Sabah – Siti Aminah

KLUANG, 25 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Siti Aminah Aching berkata penting untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dipertahankan Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, ini kerana Mahkota dikenali sebagai kubu kuat namun ia sama
sekali tidak memberikan alasan untuk tidak bekerja keras, sebaliknya gerak kerja sebaiknya dilakukan sejak awal penamaan calon.

“Diharapkan adalah kemenangan sebab kita mahu mempertahankan Mahkota ini supaya tidak terlepas kepada tangan orang lain, kerana penyandangnya adalah daripada UMNO.

“Jadi sekarang ini saya rasa tidak mustahil untuk mempertahankannya tetapi jangan terlalu selesa kena bekerja, kerana lawan kerja mereka tidak tidur malah mereka buat apa yang kita buat.

“Jadi apa yang saya harapkan, semoga semua jentera kita ini bekerja dan juga teruskan usaha untuk menempuh kejayaan nanti. Sebab ini adalah membawa gembaran Kerajaan Perpaduan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui UMNO Online di pusat daerah mengundi (PDM) Taman Kerjasama baru-baru ini.

Siti Aminah yang juga Ahli Parlimen Beaufort dalam pada itu berkata semangat kemenangan di DUN Nenggiri pada Ogos lalu dikira sebagai pembakar semangat kepada parti.

Menurut beliau, sekiranya Mahkota juga dimenangi BN kelak sudah tentunya memberi kekuatan moral kepada UMNO Sabah yang bakal berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN)

“Saya ingin membawa kejayaan ke sini kemudiannya kembali ke Sabah kerana tidak lama lagi kami akan menghadapi PRN16.

“Jadi mudah-mudahan semangat ini akan dibawa balik ke sana dan kemenangan ini juga akan kita bawa dan warisi sampai bila-bila.

“Karena itulah matlamat kita untuk memenangkan BN yang telah kita pertaruhkan daripada kita punya calon-calon,” ujar beliau.

PRK DUN Mahkota diadakan selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu minggu lalu dan pengundian awal pada Selasa ini, manakala hari pengundian pada 28 Sept.

BN mewakili Kerajaan Perpaduan menampilkan Syed Hussien Syed Abdullah, 40, yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang sebagai calon manakala Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan bekas jurulatih dan pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar, 61. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.