PRK Mahkota: Syed Hussien Seru Pengundi Luar Balik Tunai Tanggungjawab

KLUANG, 25 Sept – Calon Barisan Nasional (BN), bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah menyeru pemilih berdaftar yang menetap di luar Kluang, untuk balik menjalankan tanggungjawab pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Sabtu ini.

Menurut beliau, ia peluang berharga buat mereka bagi memastikan pembangunan Mahkota terus terbela di bawah BN.

“Untuk semua pengundi anak-anak Mahkota yang berada di luar, saya menyeru kepada anda semua untuk pulang ke Kluang supaya menjalankan tanggungjawab kita sebagai pengundi.

“Jangan lepaskan peluang ini untuk menentukan masa depan Mahkota yang lebih cerah dan mampan,” katanya.

Syed Hussien yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang berkata demikian ketika ditemui UMNO Online pada program Santai Boling Anak Muda Mahkota di Kluang Mall yang dianjurkan Pergerakan Puteri UMNO hari ini.

Turut hadir Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.

Mengulas lanjut Syed Hussien berkata menjangkau beberapa hari lagi tempoh kempen, pelbagai kelompok rakyat telah disantuni bagi menyampaikan aspirasinya sempena PRK ini.

Kata beliau, ini termasuk mendekati golongan muda terutama pengundi pertama kali melalui program yang bersesuaian dengan minat mereka.

“Kita sudah mendekati pelbagai lapisan masyarakat iaitu Melayu Cina dan India, baik golongan senior dan juga junior.

“Malah hari ini kita dapat bertemu dengan anak-anak muda, yang kebanyakan daripada mereka adalah pengundi pertama kali.

“Ini antara perkara yang sangat kita banggakan, tahniah kepada Puteri UMNO Malaysia kerana berjaya menganjurkan program seperti ini.

“Insya-Allah kalau sekiranya diberi peluang kita akan cuba lagi mendekati anak muda dengan cara-cara yang sebegini selain riadah,” ujar beliau.

Syed Hussien, 40, yang juga Ahli Majlis Perbandaran Kluang Zon Seri Impian menjadi taruhan BN pada PRK DUN Mahkota.

Beliau aktif dalam pelbagai kegiatan belia serta kesukarelawanan menerusi beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta mampu bertutur dalam bahasa Mandarin.

Anak jati Mahkota ini akan berdepan saingan dua penjuru dengan calon Perikatan Nasional, bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut selepas mantan ADUN Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang meninggal dunia pada Ogos lalu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.