PRK Mahkota: Antara Hussien Atau Haizan? – Hafiz Ariffin

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Berbaki sehari lagi menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, persaingan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) semakin ketara, kata Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Hafiz Ariffin.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Hafiz mengupas secara mendalam tentang kekuatan dan kelemahan kedua-dua pihak dalam kempen kali ini.

“Calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah terus bergerak laju dan disambut oleh kepimpinan Pusat dan Negeri. PN pula kurang nampak kepimpinan pusat dan negerinya, kelihatan seolah-olah ada jurang, Pas dan Gerakan seolah tiada, manakala sayap orang mudanya juga tidak begitu kelihatan dan isu-isu yang dibawa oleh calon PN dan jentera dilihat tidak selari.

“PN banyak memainkan persepsi dan tuding jari antaranya, calon kata Kerajaan Negeri gagal urus banjir, Pusat pula main sentimen pengundi cina, laungan hidup calon semasa lawatan ke China, bahkan kempen ceramah penuh hasut dan cemuhan.

“Mana satu hendak disasarkan ni? Sekarang cetuskan keraguan bahawa calon BN ada kes polis pula. Tiada satu pun membina, perlawanan idea dan usaha siapa boleh tawar perkhidmatan yang lebih baik untuk rakyat,” katanya.

Hafiz yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sembrong berkata kredibiliti calon BN cukup ketara dan jauh berbeza dengan calon PN terutamanya dari segi keupayaan, umur dan imej.

“Calon BN, walau muda tapi nampak tajam, cekap mengendalikan soalan, fasih pelbagai bahasa, terutamanya Bahasa Melayu, Cina dan Inggeris. Terang lagi bersuluh dan ada rancangan untuk rakyat jika dipilih.

“Kebolehan calon PN sebagai pemimpin masyarakat… meragukan, awal-awal lagi kata dah penat, main bola tak penat macam ni. Nak tahu lagi, tengoklah sendiri video Sinar Daily. Tak sampai hati nak sebut satu-satu,” jelas beliau.

Tambah beliau, kekuatan BN Johor memberi imej dan mesej yang jelas sebagai sebuah koalisi politik yang stabil dan progresif dan disambut oleh pemimpin Nasional dari Kerajaan Perpaduan.

“Calon BN ada peluang menjadi sebahagian penggerak agenda ‘Maju Johor’ yang diterajui oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan barisan Kerajaan. Dua tahun berbaki sebelum tamat penggal, sudah pasti tumpuan apa yang boleh rakyat Mahkota nikmati. Inilah saatnya dan peluang yang baik.

“Kita hargai PN dalam menjadi persaingan, tetapi kita perlukan yang terbaik untuk nasib kehidupan kita semua dan hari esok. Akhir sekali, sekiranya PN menang bagaimana nasib warga Mahkota boleh dibela? Dan sama-sama kita usahakan, insya-Allah Hussien untuk rakyat Mahkota,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.