PRK DUN Mahkota: Jangan Terperangkap Manipulasi, BN Pilihan Terbaik – Norshida
KUALA LUMPUR, 26 Sept – Fasa kedua kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang memasuki minggu kedua memperlihatkan suasana yang semakin meriah, kata Naib Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Norshida Ibrahim.
Katanya, Barisan Nasional (BN) menerusi jentera pelbagai peringkat khususnya Wanita BN terus melipatgandakan lagi usaha agar pengundi tidak lagi ragu-ragu untuk membuat pilihan yang tepat dengan memilih calon BN, Syed Hussein Syed Abdullah pada hari mengundi nanti.
“Apa yang penting pada dan saat ketika ini, masyarakat setempat perlu membuat pilihan yang terbaik dan bukannya membuat pilihan berdasarkan emosi semata-mata. Sudah pasti pelbagai isu akan dimanipulasi oleh pihak lawan dalam usaha mengelirukan pilihan yang terbaik oleh pengundi pada Sabtu ini.
“Wanita BN selain turun merayu undi, kita juga turut memantau segala isu-isu yang dilontarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dalam usaha memastikan pengundi mendapat maklumat serta penerangan yang tepat.
“Jadi dengan waktu yang ada dan berbaki beberapa hari lagi, insya Allah Wanita BN Johor akan terus bergerak bukan sahaja merayu undi malah akan turut membantu memantau isu semasa yang berlegar di akar umbi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, PRK DUN Mahkota diadakan selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu lalu dan pengundian awal pada 24 September manakala hari pengundian pada 28 September.
BN mewakili Kerajaan Perpaduan menampilkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah, 40, sebagai calon manakala PN mempertaruhkan bekas jurulatih dan pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar, 61. – UMNO Online