Bung Moktar Yakin Komitmen Tinggi Jentera, Pastikan Kemenangan BN Di Mahkota
KLUANG, 24 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin yakin komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh jentera Barisan Nasional (BN) dan parti Perpaduan mampu memberikan kemenangan BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Kata Ketua UMNO Sabah itu, semua jentera dilihat sedang giat berusaha dengan gerak kerja masing-masing sehinggalah ke hari pengundian pada 28 Sept nanti.
“Setelah berjumpa dengan jentera, alhamdulillah saya mendapat gambaran yang tepat dan cukup yakin bahawa jentera-jentera ini akan meneruskan kerja-kerja (kempen) ini sehingga pembuangan undi pada 28 Sept.
“Di atas kertas kemenangan calon BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu agak baik iaitu lima ribu lebih (majoriti) dan kali ini sudah tentu, insya-Allah calon kita anak muda daripada Pergerakan Pemuda, saya rasa dapat menggalas amanah dan mengekalkan kerusi ini dengan kemenangan yang begitu berjaya,” katanya kepada UMNO Online.
Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan ditemui selepas mengadakan pertemuan bersama jentera Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Tengah di sini, Isnin malam.
Seterusnya, Bung juga yakin dengan usaha-usaha jentera Jalinan Rakyat (JR) wanita khususnya yang akan terus memantapkan strategi untuk kemenangan.
Begitu juga Bung mengharapkan kerjasama jentera daripada parti Perpaduan iaitu Pakatan Harapan untuk meraih sokongan dan undi pengundi kumpulan sasar mereka.
Mengulas lanjut, Bung berkata adalah satu kerugian besar jika pengundi tidak memilih BN kerana Kerajaan Negeri Johor telah banyak menjaga kepentingan mereka.
“Kerajaan Negeri Johor telah banyak bagi bantuan kepada rakyat di seluruh negeri sama ada kaum Melayu, Cina, India dan sebagainya dan tidak ada pilih kasih, pokoknya Bangsa Johor.
“Adalah kerugian bagi rakyat di DUN Mahkota sekiranya tidak mengundi calon BN. Kerugian besar,” ujarnya lagi.
Manakala menyentuh mengenai pengundi luar, Bung berkata parti telah mewujudkan satu pasukan khas bagi menyantuni golongan terbabit.
“Saya dimaklumkan bahawa UMNO/BN juga ada membuat satu pasukan khas untuk mencari pengundi-pengundi luar ini untuk didatangkan mengundi pada 28 Sept seperti yang dilaksanakan di (PRK DUN) Nenggiri.
“Di Nenggiri kita berjaya membawa pengundi-pengundi luar mengundi BN dan sudah tentu strategi yang sama kita gunakan untuk membawa pengundi-pengundi luar ini,” katanya.
PRK DUN Mahkota diadakan selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu minggu lalu dan pengundian awal pada 24 Sept manakala hari pengundian pada 28 Sept.
BN menampilkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah, 40, sebagai calonnya, yang juga merupakan Ahli Majlis Perbandaran Kluang Zon Seri Impian selain aktif dalam pelbagai kegiatan belia serta kesukarelawanan menerusi badan bukan kerajaan (NGO). – UMNO ONLINE