Calon BN PRK Mahkota Ada Karisma Untuk Berkhidmat – Pemuda UMNO Johor
KUALA LUMPUR, 9 Sept – Pemuda UMNO Johor yakin calon Barisan Nasional (BN) yang diketengahkan oleh parti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota adalah calon yang ada karisma untuk berkhidmat kepada rakyat.
Ketuanya, Noor Azleen Ambrose berkata pemilihan Syed Hussien Syed Abdullah yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Kluang merupakan seorang calon yang mempunyai latar belakang cukup baik untuk beliau berkhidmat kelak sekiranya diberikan kepercayaan.
“Siapa Syed Hussien… inilah calon yang akan mewakili BN bagi kerusi N.29 Mahkota.
“Anak muda yang mesra dengan panggilan Hussien ini merupakan insan yang sangat dedikasi dalam setiap tugas. Kami kongsikan sedikit profil tentang beliau. 𝙎𝙘𝙖𝙣 𝙌𝙍 𝘾𝙤𝙙𝙚 𝙪𝙣𝙩𝙪𝙠 𝙞𝙠𝙪𝙩𝙞 𝙢𝙚𝙙𝙞𝙖 𝙨𝙤𝙨𝙞𝙖𝙡 𝙘𝙖𝙡𝙤𝙣,” katanya kepada UMNO Online di sini hari ini.
Beliau seterusnya mengajak seluruh jentera parti untuk sama-sama bukan sahaja membantu kemenangan BN kelak malah membantu mengekalkan kemenangan yang telah dicapai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.
“Ayuh semua kita sama-sama menangkan calon BN dan kita doakan moga-moga beliau dapat mengekalkan BN di kerusi DUN Mahkota pada PRK kali ini,” ujarnya.
Memetik laporan, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah diumum sebagai calon BN bagi PRK DUN Mahkota.
Kerusi DUN Mahkota kosong selepas penyandangnya Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada 2 Ogos lepas.
Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang sejak 1993 merampas kembali kerusi DUN Mahkota daripada Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti 5,166 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Mac 2022.
Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini manakala penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September. – UMNO Online