Semoga Momentum Kebangkitan UMNO Dizahirkan Di Mahkota – Tengku Zafrul
KUALA LUMPUR, 9 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berharap agar momentum kebangkitan UMNO akan dizahirkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Beliau yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, kejayaan UMNO/Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi DUN Nenggiri pada bulan lalu merupakan satu petanda yang baik.
“UMNO menang di DUN Nenggiri. Adakah ini bermakna UMNO dah kembali gagah? Terlalu awal nak buat kesimpulan tersebut. Tetapi, kejayaan merampas kembali kerusi Nenggiri apabila ramai pengundi muda dan baru memilih UMNO pastinya satu petanda baik.
“Untuk UMNO kekal relevan, kita perlu tangkas berubah mengikut perubahan zaman dan keadaan politik semasa. Pertama, UMNO harus kekal sebagai parti politik Melayu yang moderat dan inklusif dalam konteks masyarakat yang berbilang kaum serta agama.
“Kepelbagaian itu kita raikan. Kita bukan eksklusif untuk satu golongan sahaja. Kedua, strategi UMNO perlu diubah suai mengikut sentimen kerusi dan negeri. Setiap kerusi ada sentimen dan keperluan yang berbeza. Pendekatan yang sama untuk setiap kerusi sudah tidak boleh dipakai,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Menurutnya, politik khidmat bakti yang sentiasa diamalkan perlu diteruskan di samping melahirkan pemimpin pelapis untuk masa depan parti.
“Ketiga, politik khidmat UMNO perlu diperluas, disusun dengan lebih teratur dan dipantau dengan telus. Program sentuhan langsung kita mesti selari dengan tuntutan semasa dan bersama rakyat berbilang kaum, bukan sekadar ahli-ahli dan pengundi UMNO.
“Keempat, UMNO perlu mengetengahkan pemimpin pelapis yang mempunyai idea bernas dan personaliti yang berwibawa. Masa Perhimpunan Agung UMNO, saya tengok kualiti dan penyampaian oleh jurucakap-jurucakap peringkat sayap memang hebat.
“Teguran yang membina kepada barisan kepimpinan, disulami dengan cadangan untuk penambahbaikan. Inilah yang UMNO perlukan, pendekatan membina, bukan yang membinasa,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut menyeru semua pemimpin dan ahli parti untuk memanfaatkan media sosial sebaiknya dalam usaha bagi memperoleh semula keyakinan rakyat.
“Kelima, UMNO perlu memanfaatkan media sosial sebaik mungkin. Kita ada ramai ahli. Kalau semuanya dapat hasilkan konten yang segar, informatif dan mengiburkan, Insya-Allah kita boleh meyakinkan lebih ramai orang.
“Semoga momentum kebangkitan kita ini bakal dizahirkan di peti undi pada PRK Mahkota nanti. Insya-Allah,” katanya lagi.
Pada Sabtu, media melaporkan Syed Hussien Syed Abdullah diumum sebagai calon BN bagi PRK DUN Mahkota.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September ini.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 27 September. – UMNO Online