Wanita UMNO Teruskan Gerak Kerja…Fokus Utama Bantu Kemenangan Parti – Norshida Ibrahim

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Naib Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Norshida Ibrahim berkata apa pun keputusan berkaitan soal calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota tumpuan utama adalah untuk membantu kemenangan parti.

Katanya, sebagai ahli parti yang sayangkan parti, Wanita UMNO akan terus bergerak sebaiknya dengan segala perancangan yang telah pun diatur.

“Saya yakin dan mana mungkin kita nafikan bahawa keputusan ini sedikit sebanyak telah mencalar semangat Wanita untuk berkhidmat dengan 100 peratus komitmen menyusun gerak kerja demi memastikan calon Barisan Nasional (BN) yang dipilih memenangi PRK DUN Mahkota ini.

“Walaubagaimana pun, kita ahli parti dan sayangkan parti. Kita fokus untuk memenangkan parti dan ketika ini lebih menjadi keutamaan. Kita teruskan usaha demi UMNO dan BN,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kata beliau lagi besarlah harapan Wanita UMNO khususnya agar lebih ramai calon akan ditonjolkan selepas ini khususnya dalam usaha merealisasikan sasaran 30 peratus calon Wanita.

“Harapan saya tetap terus tuntut supaya lebih ramai calon-calon wanita dapat diketengahkan dalam pilihan raya negeri dan umum yang akan diadakan pada masa akan datang, yang utama ketika ini kita sama-sama pastikan kemenangan calon BN yang telah diumumkan semalam,” ujarnya.

Semalam, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah diumum sebagai calon BN bagi PRK DUN Mahkota.

Kerusi DUN Mahkota kosong selepas penyandangnya Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada 2 Ogos lepas.

Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang sejak 1993 merampas kembali kerusi DUN Mahkota daripada Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti 5,166 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Mac 2022.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini manakala penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.