Seluruh Jentera Telah Bersedia, Cipta Kemenangan Di Mahkota – Md Jais

KLUANG, 8 Sept – Seluruh jentera Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) telah bersedia untuk bekerja bagi mencipta kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor, Datuk Md Jais Sarday berkata, beliau percaya segala persediaan telah berjalan dengan rapi untuk menghadapi PRK tersebut.

“Saya bagi pihak rakan-rakan kepimpinan BN termasuklah Friends of BN dan PH mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua yang hadir terutama daripada negeri-negeri dan juga bahagian-bahagian lain untuk menjayakan program kita pada petang ini.

“Kita di Kluang hari ini dalam keadaan kita keadaan yang ‘cool’. Maksudnya, kalau para pemimpin turun nanti, saya percaya di seluruh kawasan mahkota ini, tiada apa-apa isu cuma nak menanti masanya penamaan calon dan seterusnya hari pengundian pada 28 September ini.

“Saya juga ucapkan terima kasih kepada bahagian angkat dan terima kasih tidak terhingga kepada pengarah pilihan raya kita, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang telah menggerakkan kita dengan apa segala strategi untuk menjayakan pilihan raya kita ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Majlis Pelancaran Jentera dan Pengenalan Calon BN sempena PRK DUN Mahkota, pada Sabtu.

Menurutnya, segala tugas dan gerak kerja telah dipersiapkan di 19 pusat daerah mengundi (PDM) untuk memastikan DUN Mahkota kekal di bawah pemerintahan BN.

“Ini merupakan satu gelombang awal yang saya percaya ia akan membawa gelombang kemenangan kita pada 28 September ini. Semua jentera 19 PDM dan 80 cawangan UMNO telah bersedia jalankan tugas untuk memastikan kemenangan kita.

“Rakan-rakan komponen BN juga telah bersedia dengan jentera-jentera mereka. Saya juga ingin melaporkan bahawa rakan-rakan PH… semalam saya hadir Pelancaran Jentera Parti Amanah, masing-masing beri komitmen untuk memastikan DUN Mahkota kekal di bawah pentadbiran BN,” katanya lagi.

Pada Sabtu, UMNO Online melaporkan Syed Hussien Syed Abdullah diumum sebagai calon BN bagi PRK DUN Mahkota.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam majlis Pelancaran Jentera dan Pengenalan Calon BN yang berlangsung di sini, hari ini.

Turut hadir bersama ialah Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh dan kepimpinan lain. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.