Wanita BN Sedia Gempur PRK DUN N29 Mahkota – Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menegaskan bahawa jentera Barisan Nasional (BN) akan digerakkan sepenuhnya bagi memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Menurut beliau, Wanita BN akan memainkan peranan penting dalam meraih sokongan pengundi di kawasan tersebut.

“Seluruh Jentera Wanita Barisan Nasional (BN) akan digerakkan bagi memenangi hati dan sokongan pengundi di PRK DUN N29 Mahkota kelak.

“Jumlah pengundi seramai 66,318 dengan 18 Pusat Daerah Mengundi (PDM) menuntut kerja keras daripada jentera untuk bertemu seramai mungkin pengundi sepanjang tempoh berkempen nanti,”katanya.

Semalam, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah diumum sebagai calon BN bagi PRK DUN Mahkota.

Terdahulu,kerusi DUN Mahkota kosong selepas penyandangnya Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada 2 Ogos lepas.

Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang sejak 1993 merampas kembali kerusi DUN Mahkota daripada Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti 5,166 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Mac 2022.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini manakala penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.