Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan Sokong Penuh Calon BN Pada PRK Mahkota

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia menyokong penuh calon Barisan Nasional (BN) yang bakal diketengahkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Ketua Sekretariatnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata perkara tersebut diputuskan pada mesyuarat yang diadakan malam tadi

Menurut beliau, keseluruhan jentera BN dan Pakatan Harapan (PH) akan digerakkan bagi mendekati pengundi untuk mengekalkan kemenangan BN.

“Menyokong penuh calon PRK di PRK DUN Mahkota, mewakili Kerajaan Perpaduan Malaysia yang bakal dinamakan oleh kepimpinan tertinggi BN dalam masa terdekat.

“Seluruh jentera parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia terutamanya BN dan Pakatan Harapan (PH) akan digerakkan sepenuhnya bagi memenangi hati dan sokongan pengundi di DUN Mahkota dari kalangan pelbagai kaum dan agama,” katanya menerusi satu kenyataan selepas diadakan mesyuarat di Seri Perdana, Putrajaya.

Beliau dalam pada itu memaklumkan bahawa mesyuarat tersebut turut memperakui struktur jentera Kerajaan Perpaduan Malaysia bagi menghadapi PRK DUN Mahkota dengan melantik Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Pengarah PRK manakala Aminolhuda Hassan sebagai Penyelaras Jentera PH.

Untuk rekod, Kerusi DUN Mahkota kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63 pada 2 Ogos lalu, ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

PRK DUN Mahkota PRK ke-10 yang diadakan selepas PRU15 pada 2022

Sementara itu, Asyraf turut berkata mesyuarat memandang serius isu-isu mengenai 3R dan menegaskan akan menumpahkan taat setia serta terus mempertahankan kedaulatan dan kedudukan Raja-raja Melayu sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu beliau berkata turut sama memaklumkan bahawa mesyuarat tersebut menzahirkan kesyukuran dan mengucapkan tahniah kepada BN kerana memenangi PRK DUN Nenggiri dengan majoriti besar. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.