Teruskan Muafakat, Kerjasama Berpasukan Pastikan Kejayaan Berterusan UMNO – Jafni

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Kulai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata dalam apa jua keadaan pentingnya kesatuan, kerjasama, dan kerja keras dalam usaha mencapai kejayaan bagi memastikan UMNO hari ini terus mengorak langkah ke depan.

Bagi beliau nostalgia lalu sepertimana yang diperkatakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada perasmian Mesyuarat UMNO Simpang Renggam Ahad lalu boleh dikenang namun langkah ke depan harus dilaksanakan sebaiknya.

“Pengerusi Perhubungan UMNO Johor mengajak kita semua kepimpinan, tak kira dari segi apa jawatan parti termasuk juga wakil-wakil rakyat, ahli majlis, pemimpin-pemimpin kampung, pemimpin-pemimpin masyarakat dan sebagainya untuk sama-sama memberi khidmat kepada masyarakat dan membantu sebaik mungkin.

“Beliau juga menyingkap sejarah kekalahan kita pada PRN dan PRU yang lepas, dan seterusnya mengajak semua kepimpinan baik di peringkat atas, di peringkat negeri dan di peringkat bahagian-bahagian untuk berlapang dada dan kembali bekerja sebagai satu pasukan yang kuat dan memberi perkhidmatan yang sebaik mungkin kepada rakyat,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Johor seterusnya menyeru agar semua pihak untuk bersatu dan bekerja sebagai satu pasukan yang kuat, memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat, dan memastikan kejayaan yang lebih besar di masa depan.

Katanya fokus pada masa depan, semangat baharu, dan kerja keras adalah kunci untuk mengembalikan mandat rakyat dan memastikan kejayaan politik yang berterusan.

“Jadi sekarang ini kita tidak perlu lagi bernostalgia dan berkisah-kisah lama, sebaiknya kita bersama-sama bergerak ke depan.

“Nostalgia dan sejarah mungkin boleh menjadi sempadan kepada kita dan kita sama-sama pandang ke hadapan, dan kita buka buku baru serta semangat baharu, dan semangat ini perlulah dizahirkan dari segi perkhidmatan dan perbuatan dengan rekod kerja yang bagus,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit