Usah Salahguna Doa & Melampau Mendoakan Kebinasaan Sesama Ahli Politik Dalam Parlimen

1. QUNUT Nazilah adalah doa selepas rukuk dalam solat Fardhu ketika umat Islam dilanda musibah seperti wabak dan disebabkan kezaliman oleh musuh Islam di kalangan bukan Islam.

2. Antara dalilnya ialah Qunut yang dilakukan oleh Nabi (saw) selama sebulan mendoakan keselamatan beberapa orang Sahabat yang dizalimi di Mekah oleh orang-orang Quraisy di kalangan Musyrikin yang memusuhi Islam.

Antara doa baginda juga: “Ya Allah jadikan ke atas mereka hukuman berbentuk kemarau seperti kemarau zaman Yusuf.
(Hadis riwayat Bukhari no 6393 dan Muslim no 675).

3. Nabi (saw) juga melakukan Qunut Nazilah dalam solat 5 waktu mendoakan kebinasaan terhadap beberapa suku Bani Sulaim iaitu suku Ri’l, suku Zakwan dan suku Usaiyyah yang khianat dan membunuh 70 orang hafiz al-Quran yang diminta oleh mereka kepada Nabi (saw) untuk dihantar bagi membantu mereka menghadapi musuh mereka.
(Hadis riwayat Bukhari no 2814 dan Muslim no 677)

4. Namun, hari ini sangat malang apabila doa seperti Qunut Nazilah dibaca di dalam Parlimen apabila seorang ahli parlimen digantung dengan undian suara majoriti ahli parlimen selama 6 bulan setelah usul di bawa ke parlimen oleh Menteri. Punca penggantungan ialah kerana kesalahan ahli parlimen tersebut menjadikan maklumat dalam surat layang sebagai bahan perbahasan.

5. Apa pun sebab dan perbezaan sudut pandang dalam isu ini di pentas demokrasi ia tidak mewajarkan doa seperti Qunut Nazilah dibaca dengan tujuan mendoakan keburukan dan kebinasaan sesama ahli parlimen dan tentunya ia ditujukan pada speaker dan ahli parlimen yang majoritinya adalah muslim yang menyokong usul tersebut.

 

Penyalahgunaan Doa & Sikap Melampau

6. Hal ini jelas merupakan penyalahgunaan doa dan ia termasuk kategori melampau dalam berdoa.

Dalilnya ialah Allah berfirman
ادْعُواْ رَبَّكُمْ تَضَرُّعاً وَخُفْيَةً إِنَّهُ لاَ يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
Berdoalah kamu kepada Tuhan kamu dengan tunduk merendah diri dan suara halus perlahan. Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas” (Surah al-A’raf: 55)

Ayat ini menunjukkan berlaku sikap melampau dalam berdoa yang tidak disukai oleh Allah.

7. Para ulama telah menjelaskan antara sikap melampau dalam berdoa ialah mendoakan kebinasaan orang lain tanpa sebab yang hak dan benar.

Menurut Ibn Bazz, mufti Saudi Arabia, melampau dalam berdoa antaranya mendoakan keburukan atas orang yang tidak berhak didoakan seperti “ya Allah perangilah orang ini, binasakan orang ini, hilangkan hartanya dan seumpamanya yang memudharatkan tanpa sebab sebenar atau mendoakan kebinasaan saudaranya dan kerabatnya”.

8. Ini juga termasuk dalam kategori doa yang berdosa yang tidak dimakbulkan oleh Allah.

Nabi (saw) bersabda:
لَا يَزَالُ يُسْتَجَابُ لِلْعَبْدِ، ما لَمْ يَدْعُ بإثْمٍ، أَوْ قَطِيعَةِ رَحِمٍ

Akan sentiasa diterima doa hamba selagi mana dia tidak berdoa dengan dosa dan memutuskan rahim
(Hadis riwayat Muslim no 2735)

Hadis ini menjelaskan syarat berdoa yang dimakbulkan ialah doa yang tiada padanya dosa dan memutuskan hubungan rahim.

9. Ahli parlimen di pentas demokrasi dan parlimen tidak layak dan tidak berhak didoakan kebinasaan apatah lagi ahli parlimen Islam. Parlimen adalah tempat persaingan politik dan berbalas hujah menurut peraturannya. Ia bukan pentas berperang saling melukakan jasad dan mencabut nyawa.

10. Adakah ahli parlimen yang digantung berdasarkan peraturan mesyuarat yang sah itu dan atas kesalahan berhujah dengan surat layang itu sedang terancam nyawa dan jasadnya sehingga mewajarkan doa kebinasaan pada ahli parlimen lain termasuk orang Islam yang mengundi meluluskan usul penggantungan?

11. Penggantungan pula adalah kerana perlakuan berhujah dengan surat layang yang sememangnya ditolak oleh Islam dan bercanggah dengan akhlak Islam bahkan ia perlakuan zalim terhadap pihak tertuduh yang tidak boleh disokong.

Nabi (saw) bersabda::

كَفَى بالمرءِ كذِبًا أن يحدِّثَ بِكُلِّ ما سمِعَ
Cukuplah seseorang itu berbohong dengan bercakap apa sahaja yang didengarinya
(Hadis riwayat Muslim no 5 dan Abu Dawud no 4992))

Berbicara tentang apa sahaja maklumat yang diterima termasuk surat layang yang tidak dapat disahkan dan dipercayai sumbernya adalah satu perlakuan bohong yang bercanggah dengan Islam apatah lagi ia dijadikan modal berbahas dalam parlimen.

Hukum Mendoakan Keburukan Sesama Muslim

12. Islam membenarkan doa keburukan pada sesiapa kalangan orang Islam yang menzalimi orang lain khususnya menzalimi maruah dan nama baik seseorang muslim namun yang terbaik ialah mendoakan hidayah untuknya.

13. Dua orang Sahabat Nabi yang dikenali sebagai antara 10 Sahabat yang dijanjikan syurga iaitu Sa’id bin Zaid dan Sa’ad bin Abi Waqqas (r.ah) mendoakan keburukan terhadap pelaku fitnah ke atas diri mereka.

14. Sa’id bin Zaid (r.a) difitnah merampas tanah oleh seorang perempuan lalu dia berdoa “ya Allah sekiranya dia berbohong maka butakan matanya dan matikan dia di tanahnya sendiri.
(Hadis riwayat Muslim 1610

15. Sa’ad bin Abi Waqqas (r.a) pula difitnah tidak berlaku adil dalam pemerintahannya sebagai gabenor Kufah oleh seorang lelaki lalu dia berdoa:
اللَّهُمَّ إنْ كانَ عَبْدُكَ هذا كَاذِبًا، قَامَ رِيَاءً وسُمْعَةً، فأطِلْ عُمْرَهُ، وأَطِلْ فَقْرَهُ، وعَرِّضْهُ بالفِتَنِ،

“ya Allah sekiranya hamba kamu ini berbohong, berdiri kerana riya menunjuk-nunjuk dan untuk mendapat nama maka panjangkanlah umurnya, panjangkanlah kefakirannya dan dedahkan dirinya pada ujian”
(Hadis riwayat Bukhari no 755 dan Muslim no 453)

16. Namun, kedua-dua Sahabat ini berlapik dalam berdoa dengan perkataan “jika dia bercakap bohong” menunjukkan betapa berhati-hati Sahabat apabila mendoakan keburukan pada pelaku zalim bimbang termasuk kategori melampau dalam berdoa dengan mendoakan keburukan ke atas orang yang tidak sepatutnya.

17. Dalam keadah berdoa terhadap orang zalim sekalipun tidak semua berhak dan layak didoakan kebinasaan.

Berkata al-Sa’di dalam tafsir beliau:

غير أنه لا يجو ز الدعاء على كل ظالم بأن يهلكه الله تعالى، فليس كل الظالمين يستحق الإهلاك ، وإنما يدعى بذلك على من كانت جريمته وظلمه عظيما يستحق الإهلاك بسببه ، كمحاربة الإسلام أو قتل المسلمين أو الاعتداء على الأعراض والأموال ولم ينته مهما هُدِّد أو عوقب … ونحو ذلك
tetapi tidak harus mendoakan kebinasaan setiap orang yang zalim agar Allah membinasakannya. Tidak semua orang yang zalim berhak mendapat kebinasaan. Tetapi didoakan sebegitu ke atas orang yang jenayahnya dan kezalimannya sangat besar yang layak dibinasakan dengan sebab itu seperti memerangi Islam atau membunuh orang Islam atau mencerobohi maruah dan harta benda dan tidak berhenti meskipun diugut atau dihukum dan seumpamanya“.

18. Al-Qarafi (626-684 H) menyebut; mendoakan keburukan ke atas pelaku kezaliman ada beberapa wajah antaranya mendoakan berlaku perkara yang menyakitkan pada jasadnya lebih daripada apa yang hukuman yang layak untuknya ia tidak patut berlaku juga kerana Allah berfirman:

فَمَنِ اعْتَدَى عَلَيْكُمْ فَاعْتَدُوا عَلَيْهِ بِمِثْلِ مَا اعْتَدَى عَلَيْكُمْ
Maka sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu boleh balaslah pencerobohan ke atasnya dengan sebandingan apa yang dia cerobohi kamu
(Surah al-Baqarah: 194)

19. Kalau dalam perkara mendoakan keburukan terhadap pelaku kezaliman yang diberikan kelonggaran oleh Islam pun masih ada batas sempadannya, apatah lagi mendoakan keburukan ke atas sesama ahli politik yang bersaing di arena politik demokrasi yang masih terdedah kepada ijtihad pandangan dan pendapat. Sementelah pula doa itu dibuat bagi mempertahankan seorang yang melakukan kesalahan berbohong bersumberkan surat layang yang ditolak oleh Islam.

20. Kesimpulannya, dalam arena demokrasi berparlimen di mana masing-masing bersaing mendapatkan kuasa lalu berlaku perbezaan pendapat politik maka ia tidak mewajarkan doa keburukan terhadap saudara sesama ahli parlimen. Itulah adalah sikap melampau dalam berdoa.

21. Alangkah baik jika membudayakan doa agar setiap orang diberikan petunjuk dan hidayah bagi melakukan kebaikan kerana tiada kebaikan pun pada kehancuran dan kebinasaan mana-mana insan di kalangan rakyat Malaysia dalam arena demokrasi.

22. Saya titipkan Hadis yang sebaiknya menjadi panduan bersama:

خِيارُ أئِمَّتِكُمُ الَّذِينَ تُحِبُّونَهُمْ ويُحِبُّونَكُمْ، وتُصَلُّونَ عليهم ويُصَلُّونَ علَيْكُم، وشِرارُ أئِمَّتِكُمُ الَّذِينَ تُبْغِضُونَهُمْ ويُبْغِضُونَكُمْ، وتَلْعَنُونَهُمْ ويَلْعَنُونَكُمْ، قالوا: قُلْنا: يا رَسولَ اللهِ، أفَلا نُنابِذُهُمْ عِنْدَ ذلكَ؟ قالَ: لا، ما أقامُوا فِيكُمُ الصَّلاةَ، لا، ما أقامُوا فِيكُمُ الصَّلاةَ، ألا مَن ولِيَ عليه والٍ، فَرَآهُ يَأْتي شيئًا مِن مَعْصِيَةِ اللهِ، فَلْيَكْرَهْ ما يَأْتي مِن مَعْصِيَةِ اللهِ، ولا يَنْزِعَنَّ يَدًا مِن طاعَةٍ.
Sebaik-baik pemimpin kamu orang-orang yang kamu sayang mereka dan mereka menyayangi kamu, mereka mendoakan kebaikan kamu dan kamu mendoakan kebaikan mereka. Seburuk-buruk pemimpin kamu orang-orang yang kamu membenci mereka dan mereka membenci kamu dan kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu“.

Para Sahabat bertanya: adakah boleh kami membuang mereka ketika itu?

Baginda menegaskan:
“Tidak boleh selagi mana mereka menegakkan di kalangan kamu semua Solat (berjamaah). Tidak boleh selagi mana mereka menegakkan di kalangan kamu semua Solat (berjamaah).
Ketahuilah sesiapa yang dilantik atas dirinya menjadi penguasa, lalu dia melihatnya melakukan sesuatu maksiat kepada Allah maka hendaklah kamu membenci apa yang dia lakukan dari maksiat Allah itu dan jangan sama sekali menanggalkan tangan daripada ketaatan kepadanya”
(Hadis riwayat Muslim no 1855)

23. Hadis ini menganjurkan sifat berkasih sayang antara rakyat dan pemimpin. Maka tentulah berkasih sayang itu lebih layak untuk sesama pemimpin di kalangan ahli parlimen. Benci membenci dan laknat melaknat bukan ciri-ciri pemimpin Islam yang baik kerana ia akan diteladani pula oleh para pengikut dan penyokong lalu lahirlah masyarakat yang porak peranda dan berbalah-balahan.

Sekian


Dato’ Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Timbalan Pengerusi, Majlis Ulama UMNO

https://www.facebook.com/share/p/34tchMLbLJPivBdk/?mibextid=oFDknk

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.