Baca Qunut Nazilah Di Parlimen: Fathul Bari Gesa Henti Melampau-lampau, Berpolitiklah Dengan Matang
KUALA LUMPUR, 22 Julai – Baru-baru ini Ahli Parlimen pembangkang membaca Qunut Nazilah di Parlimen selepas Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan.
Justeru Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Mohd Fathul Bari Mat Jahya berkata, hentikan berpolitik sedemikian dan berpolitiklah dengan cara yang matang.
Jelas beliau, doa sedemikian ini amat berat sehinggakan di bawa dalam Parlimen ekoran perbezaan ideologi politik yang dibuat oleh Speaker Dewan.
Katanya, kalau nak doa pun kerana merasa sebagai orang yang rasa dizalimi maka berdoa kepada Allah SWT dengan sewajarnya.
“Tapi doa itu adalah sesuai dengan kadar kezaliman dia, jangan berlebihan. Memang orang yang dizalimi boleh berdoa. Allah SWT tak suka seseorang itu menzahirkan kata-kata yang tidak baik jadi kalau bagi YB Wan Fayshal merasa beliau itu terasa terzalim atau dizalimi kerana keputusan yang dibuat Speaker, maka berdoalah… tapi yang lain-lain itu?
“Berdoalah sesuai dengan kadar kezaliman yang telah dibuat dan ukurlah dengan cara yang adil, bukan dengan cara emosi dan sentimen.
“Kerana itu saya rasa tindakan tak bijak telah dibuat oleh rakan-rakan pembangkang… soal setuju tak setuju dengan keputusan tersebut itu hal lain tapi yang saya ‘concern’ doa ini pada saya melampau, maka hentikan hal sebegini dan jangan berlebih-lebihan,” katanya dalam hantaran melalui melalui media sosial berkaitan hal tersebut.
Terdahulu beliau menerangkan berkaitan pengertian doa Qunut Nazilah dan suasana yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam membaca doa tersebut.
“Isu pokoknya di sini adalah doa yang dibaca itu sebenarnya memang doa Qunut Nazilah. Sebab ketika mana isu Palestin sewaktu serangan genosid yang dilakukan oleh Zionis ke atas saudara-saudara kita di Palestin itu, antara bacaan kita ialah Qunut Nazilah,” ujarnya yang turut mengupas berkaitan pengertian Qunut Nazilah iaitu untuk mengancurkan musuh-musuhnya. – UMNO Online