Penyasaran Subsidi Harus Ada Penambahbaikan, Ketatkan Penguatkuasaan

KUALA LUMPUR, 28 Jun – Pemuda UMNO Negeri Selangor menyambut baik pendirian Pemuda UMNO Malaysia secara prinsipnya yang bersetuju penyelarasan dan agihan subsidi diesel perlu diteliti dengan segera.

Ketuanya, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata proses pelaksanaan itu perlu mempunyai peringkat tertentu sesuai dengan keadaan, ekonomi dan sentimen semasa.

“Apa yang dilakukan kerajaan tentang subsidi diesel ini boleh dijadikan pengajaran dan penambahbaikan akan datang supaya apa jua inisiatif dan keputusan mesti dibuat secara teliti dan melihat segala ruang serta cabaran-cabaran yang ada.

“Kerajaan juga harus melakukan penguatkuasaan setelah penyasaran dibuat. Penguatkuasaan perlu digerak dalam konteks yang lebih tersusun dan berkesan. Sekiranya ketirisan ini boleh dikuatkuasakan dan telah pun ada maklumat-maklumat tertentu maka penguatkuasaan perlu dibuat.

“Perlu ada tangkapan dan mendakwa sebagai pengajaran kepada rakyat bahawa ia tidak boleh dilakukan… begitu juga kenaikan dan kawalan harga barang. Dasar yang kerajaan memberikan pengecualian kepada jentera pertanian,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Imran yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar menggesa agensi kerajaan dapat memantau penjualan subsidi di tengah laut.

“Pihak berkuasa seperti Jabatan Perikanan, maritim dan sebagainya perlu membuat pemantauan sekiranya kapal-kapal besar nelayan yang mengurus niaga subsidi diesel di tengah laut,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau juga mengharapkan kerajaan kaji semula di Budi Agri-Komoditi kerana pekebun kecil mempunyai beberapa jentera sedangkan yang lulus hanya satu jentera kenderaan saja.

“Kebanyakkan jentera ini menggunakan diesel dan ianya adalah jentera persendirian. Sekiranya mereka ‘claim’ diaplikasi Budi Agri-Komoditi hanya menerima satu kenderaan saja sedangkan mereka memiliki lebih dari satu jentera dan ini perlu dilihat secara menyeluruh pelaksanaannya.

“Kerajaan perlu melihat perkara ini kerana memberi kesan sekiranya tidak dimasukkan melalui rayuan atau pengkhususan yang lain untuk pengecualian dan ia memberikan kesan kepada sektor pertanian,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit