Terus Gerak Ke Depan, Jangan Lagi Toleh Belakang – Ahmad Zahid

TUARAN, 22 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ahli parti harus bergerak ke depan dan tidak lagi menoleh ke belakang dan bergerak bersama-sama demi kepentingan rakyat.

Menurut beliau masalah sentiasa ada namun kepimpinan yang sebaiknya adalah yang mampu merungkai permasalahan berkenaan tanpa menyakiti rakyat.

“Kita jangan toleh belakang, masalah tetap ada namun kepimpinan yang baik adalah kepimpinan yang boleh atasi sebaiknya tanpa sakiti rakyat dan itulah azam kita.

“Kestabilan politik adalah keutamaan yang perlu diberikan penekanan dan politik adalah alat manakal jawatan adalah amanah sementara… gunakan jawatan itu untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Sabah bahagian Tuaran, di sini pagi tadi.

Turut serta Ketua UMNO Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Nor, rakan-rakan komponen BN serta PH dan seluruh perwakilan UMNO Tuaran.

Ahmad Zahid seterusnya berkata perbedaan pandangan mahu pun pendapat bukanlah satu halangan untuk masing-masing bergerak ke depan kerana apa yang utama adalah kestabilan demi rakyat.

“Perbedaan pendapat boleh diraikan tetapi ada adab dan tatacarannya kita tangani.

”Musuh kamu hal kamu… sahabat kamu adalah sahabat kita juga. Untuk itu maka kebersamaan kita dalam perjuangan sama ada parti atau mana-mana organisasi pendirian kita harus jelas.

“Di sana memang sentiasa ada musuh menanti dan kita harus ingat tidak ada rakan yang kekal… musuh yang kekal. Kita tahu politik adalah satu dinamik… dulu kawan sekarang musuh… sekarang musuh yang akan datang kawan… politik adalah dinamik dan yang penting kestabilan adalah topik utama untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu Ahmad Zahid turut melihat semangat UMNO Sabah yang terus konsisten adalah satu perkembangan yang cukup baik dan ianya adalah semangat yang cukup utuh.

“Ada yang sindir macam-macam tetapi saya lihat sebagai contoh di bahagian Tuaran ini semangat setia kawan masih kental dan cukup utuh.

“Pada hemat saya di seluruh Sabah seumpama ini masih kental. Dan saya ambil kesempatan rasmikan empat UMNO bahagian termasuk UMNO Tuaran. Insya-Allah kita sama-sama terus berjuang dalam satu perjuangan demi kepentingan rakyat,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit