Dakwa UiTM Sistem Apartheid Bukti Tidak Hayati Sejarah Dan Penubuhan Negara
KUALA LUMPUR, 23 Mei – Tuduhan penulis bernama Andrew Sia dalam pandangan kolumnis MalaysiaKini bahawa kononnya UiTM adalah sistem apartheid membuktikan bahawa masih ramai lagi tidak menghayati sejarah dan semangat penubuhan negara ini.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan berkata, UMNO sentiasa mempertahankan institusi pengajian tersebut meskipun ia sering dilabel dengan panggilan ‘institusi apartheid’ dan seangkatan dengannya.
“UiTM bukan pertama kali di panggil institusi apartheid dan seangkatan dengannya. Tetapi UMNO sentiasa mempertahankan institusi yang melahirkan ramai anak Melayu dan Bumiputera yang berjaya mengubah nasib diri dan keluarga mereka.
“Sejak tertubuhnya Dewan Latehan RIDA (1956), di tukar kepada Maktab MARA (1965), Institut Teknologi MARA atau ITM (1967) dan seterusnya menjadi Universiti Teknologi MARA atau UiTM pada tahun 1999, institusi ini sering menjadi sasaran pihak cauvinis yang tidak senang duduk melihat institusi yang berjaya mengubah sosio ekonomi bumiputera ini.
“Tuduhan Andrew Sia kononnya UiTM adalah institusi apartheid menjadi bukti bahawa masih ramai lagi yang tidak menghayati sejarah dan semangat penubuhan negara kita. Mereka masih lagi tidak boleh menerima kontrak sosial dan tolak ansur orang Melayu dalam pembentukan negara kita,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Menurutnya, sikap cauvinis yang ditonjolkan itu tidak akan melemahkan semangat Bumiputera terutamanya UMNO dalam mempertahankan institusi tersebut.
“Wujudnya rakyat Malaysia seperti Andrew Sia ini lah menunjukkan betapa pentingnya UiTM untuk terus kekal menjadi eksklusif kepada Bumiputera sahaja.
“Sikap cauvinis seperti itu sedikit pun tidak akan melemahkan semangat anak bumiputera terutama Pemuda UMNO malah menyemarakkan lagi semangat untuk terus mempertahan UiTM.
“Sebagai produk UiTM saya akan terus mempertahankan UiTM sebagai satu-satunya universiti yang eksklusif untuk Bumiputera seiring dengan perkara 153 Perlembagaan Persekutuan serta Kontrak Sosial yang telah dipersetujui ketika pembentukan negara kita,” katanya lagi. – UMNO Online