UMNO 78 Tahun… Perjuangan Penuh Ujian
JIKA hanya sanggup berada dalam saf ketika senang… bukanlah pejuang namanya.
UMNO adalah wadah sebuah perjuangan. Usahlah mendabik dada sebagai hulubalang jika saat parti diuji terus menghilang.
Selagi berada atas landasan benar demi agama, bangsa dan tanah air, maka setiaku adalah di sini.
Sejuta tohmah, dakyah dan mehnah adalah asam garam yang telah mendewasakan kita dan mematangkan minda dalam gelanggang ini.
Boleh saja kamu mancari seribu cara memperdaya dan memenjara nakhoda kepimpinan kami, TETAPI mana mungkin kamu mampu memenjarakan semangat juang kami yang telah sebati dengan darah daging dalam parti KERAMAT ini.
Kamu boleh juga mencipta seribu cerita tentang Presiden UMNO untuk membunuh karektornya, TETAPI takdir Allah memilih untuk meninggikan darjatnya sebagai orang nombor dua dalam kabinet negara.
Base on track record, akhirnya rakyat sedar bahawa yang terbaik adalah di zaman kita wahai rakan rakan seperjuanganku.
Kini rakyat mula membuka mata,
janji tak seindah kata,
itu ini tak semudah lidah laju berbicara,
barulah mereka tahu kerajaan dan pembangkang jauh bezanya.
Antara menabur nista dan tanggungjawab yang perlu dilaksana.
Maka kini, tiadalah lagi kelibat segelintir mahasiswa di jalan raya berdemonstrasi membuang masa.
Baru mereka kenal hari Isnin dan Selasa.
Baru tahu langit itu tinggi di angkasa.
Berbanggalah wahai rakan seperjuangan kerana masa telah buktikan,
pergilah kalian meninjau di kampung dan pekan,
di tengah bandar mahupun kaum Temiar di pelusuk hutan,
majoriti besar watan telah memberi pengakuan,
Bossku terbaik ketika memimpin Kerajaan.
Siapa Bossku kalau bukan dari UMNO parti keramat yang banyak berjasa sepanjang zaman.
Fahamilah dengan mata hati wahai ahli-ahli UMNO sekalian, dewasa ini parti kita dalam ujian, terimalah ini sebagai Qada’ Qadar dari tuhan.
Pahit kadang perlu ditelan sebagai ubat menyegarkan badan agar kita dapat terus bertahan.
Survival parti adalah keutamaan, barulah bergerak beralas landasan.
Satu pesanku kepada kalian,
Rentak musuh jangan dilayan,
Jangan menari dengan irama songsang yang mereka mainkan,
Bukankah sumpah mereka untuk melihat UMNO menjadi nisan?
Umpan mereka jangan termakan,
Cukup-cukuplah kita membuat kesilapan.
Kepada pengkhianat dan yang telah melompat,
kita semua harus beringat,
susuk mereka jangan didekat,
jarum mereka wajib disekat,
langkah mereka penuh muslihat wajah manusia bertopengkan musibat,
dek kerana merekalah bangsaku yang gagah menjadi tenat.
Ayuh rakan-rakan seperjuanganku,
selagi ada hayat,
selagi bersalut daging dan diisi kudrat,
Marilah bersama kita bertekad,
satu niat satu matlamat,
Pertahankanlah UMNO parti Keramat,
Obor perjuangan tetap tersemat,
dalam sanubari menjadi azimat,
Patah sayap paruhku tongkat.
Kepada-Mu Ya Allah kami memohon,
bersempena usia UMNO 78 tahun,
Agar perjuangan ini kembali kukuh tersusun,
Membawa perjuangan agama, bangsa dan tanah air,
membela generasi dan warisan turun temurun.
Ya Allah, sebagai hamba-Mu yang serba kekurangan,
kami memohon ampun atas kekhilafan dan kesalahan,
pandulah kami dalam perjuangan,
agar mendapat rahmat yang berkekalan.
Hidup UMNO
Hidup UMNO
Hidup UMNO!
Selamat Ulang Tahun UMNO ke 78.
– Maklong PTPTN
Naib Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena
****************