Wakil Rakyat Perlu Ketepi Agenda Politik Sempit – Tengku Muhriz
SEREMBAN, 6 Mei – Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri ini supaya mengetepikan agenda politik sempit, sebaliknya bekerjasama demi perpaduan dan kebajikan rakyat.
Baginda bertitah dalam mengharungi senario ekonomi yang mencabar pada masa ini, kestabilan landskap politik amat penting bagi memastikan segala dasar yang dirangka dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
“Justeru, berilah fokus kepada projek dan program yang telah dirangka agar dapat diterjemahkan dan dirasai oleh rakyat.
“Adalah menjadi tanggungjawab Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk memimpin dan membimbing rakyat supaya sama-sama bersedia bergerak membina sebuah negeri dan negara yang teguh bersatu, sejahtera dan makmur,” titah baginda pada Istiadat Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-15 di sini hari ini.
Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
Titah Tuanku Muhriz, dunia digital tanpa sempadan hari ini menjadikan segala tindakan dan perbuatan wakil rakyat akan segera diketahui dan dinilai oleh rakyat.
Sehubungan itu, baginda berharap kesemua ADUN berbahas dan berhujah secara rasional dan intelektual atas perkara yang boleh membawa kebaikan dan manfaat bersama serta menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat.
Dalam pada itu, Tuanku Muhriz turut berkenan menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun serta seluruh jentera pentadbiran atas iltizam yang ditunjukkan bagi memastikan lonjakan pembangunan di negeri ini berada di landasan yang tepat.
Baginda bertitah pelbagai ruang dan platform juga tersedia untuk rakyat menyuarakan hasrat dan pandangan masing-masing.
Tuanku Muhriz turut mengingatkan ADUN supaya sentiasa menghayati, melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
“Peraturan-Peraturan Tetap Dewan juga hendaklah sentiasa dipatuhi semasa berhujah dan sepanjang persidangan berlangsung. Berpeganglah kepada prinsip mendahulukan kepentingan dan kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negeri dalam setiap hujah yang disampaikan,” titah baginda.
Selain itu, baginda juga melahirkan sukacita atas langkah proaktif agensi kerajaan yang mengubah pendekatan perkhidmatan dengan kerap melaksanakan kaedah turun padang sekali gus memudahkan rakyat memperoleh perkhidmatan secara terus serta berinteraksi secara langsung.
“Aspek pentadbiran negeri, pemerkasaan tadbir urus, penambahbaikan sistem kerja dan kepelbagaian medium penyampaian perkhidmatan merupakan penunjuk penting ke arah kesejahteraan rakyat,” titah Tuanku Muhriz. – BERNAMA