Kajian Separuh Penggal RMK12 Dibentang Di Dewan Rakyat Hari Ini

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bakal dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.

Menurut takwim menerusi laman rasmi Parlimen, pembentangan KSP RMK12 yang dijadual bermula 10 pagi akan diteruskan dengan sesi perbahasan oleh Ahli Parlimen selama tiga hari bermula esok (Selasa), diikuti jawapan oleh kementerian berkaitan pada 18 dan 19 Sept.

Pembentangan KSP RMK12 yang turut disiarkan secara langsung menerusi YouTube Parlimen Malaysia dan beberapa saluran televisyen, dijangka dibentangkan di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.

Ini merupakan pembentangan KSP Rancangan Malaysia kali pertama Kerajaan Perpaduan sejak membentuk kerajaan dan mengambil alih tampuk pemerintahan negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 Nov tahun lepas.

RMK12, dengan peruntukan RM400 bilion yang dibentangkan pada 27 Sept 2021, merupakan fasa pelengkap rancangan pembangunan lima tahun negara (2021-2025) ke arah mencapai status negara maju dan inklusif.

Penyediaan KSP RMK12 adalah untuk mengukur pencapaian sasaran bagi tempoh dua tahun pertama (2021-2022) serta hala tuju 2023-2025, merangkumi kajian semula sasaran, strategi, inisiatif, program dan projek pembangunan bagi matlamat pembangunan serta pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.

KSP RMK12 memberi tumpuan kepada dua aspek iaitu penilaian dan semakan semula meliputi pencapaian, analisis jurang, cadangan penambahbaikan dan hala tuju.

Pada 7 Sept, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dilaporkan berkata KSP RMK12 perlu dinilai 100 peratus kerana tanggapan ataupun perancangan yang dibuat sebelum COVID-19 sudah tidak boleh lagi dipakai dan kajian separuh penggal kali ini boleh disifatkan sebagai rancangan baharu untuk negara.

Pada 19 Jun lepas, Mesyuarat Khas Perdana Menteri bersama Ahli Jemaah Menteri dan Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian mengenai KSP RMK12 bersetuju supaya semua pihak bergerak sebagai satu pasukan ke arah mempercepat pelaksanaan reformasi dan inisiatif ekonomi yang dirancang. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit