Barisan Kabinet Cerminan Citra Malaysia Pelbagai Kaum, Bertunjangkan Islam Melayu/Bumiputera

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Ketua Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata lebih tujuh puluh peratus Menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan terdiri daripada golongan Melayu/Bumiputera Islam dan selebihnya bukan Islam.

Katanya, ia jelas sebagai cerminan kepelbagaian kaum di negara ini yang bertunjangkan Islam Melayu/Bumiputera.

“Secara umumnya komposisi Menteri Kerajaan Perpaduan Malaysia terdiri daripada 20 orang Menteri beragama Islam Melayu-Bumiputera iaitu 71%; manakala lapan orang sahaja bukan Islam iaitu 29%.

“Inilah cerminan kerajaan yang mewakili citra Malaysia yang pelbagai kaum dengan teras dan tunjangnya adalah Islam Melayu-Bumiputera,” katanya dalam satu hantaran di medium media sosialnya.

Dalam pada itu, Dr Asyraf turut mengucapkan tahniah kepada seluruh barisan Jemaah Menteri yang baru dilantik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tahniah! Semoga dapat memfokuskan segala usaha dan kudrat untuk kesejahteraan rakyat dengan penuh amanah dan dedikasi,” kata Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) itu lagi.

Malam tadi, Anwar telah mengumumkan 28 orang barisan Menteri Kabinet termasuk dirinya sebagai Menteri Kewangan yang terdiri daripada Pakatan Harapan (PH), BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gagasan Rakyat Sabah (Sabah) dan beberapa parti yang lain.

Presiden UMNO dan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah manakala Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Menteri Pertahanan dan Naib Presiden Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin (Menteri Pengajian Tinggi).

Selain itu, turut dilantik Setiausaha Agung BN yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Luar Negeri; Ahli MKT UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang & Reformasi Institusi); dan Bendahari BN Negeri Selangor Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

Terdahulu dalam satu statusnya di Facebook sebelum ini, Dr Asyraf berkata antara perkara asas penting yang menjadi intipati dan disepakati dalam Dokumen Perjanjian Kerjasama Pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia yang dijadikan syarat utama BN kepada PH ialah untuk memastikan dan mengambil langkah yang perlu supaya dasar, program, pendirian, perlakuan dan pembawaan kerajaan, termasuk wakil parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan, menjunjung peruntukan-peruntukan Perlembagaan berhubung kedudukan Islam dan Melayu/Bumiputera.

Begitu juga mengenai Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu agar tidak dilihat mengguris atau melanggar soal-soal kepentingan Islam, Melayu/Bumiputra sertai institusi-institusi berkaitan.

“InsyaAllah Dokumen Perjanjian ini akan dijadikan dokumen untuk tatapan umum selepas pembentukan kabinet, bukan seperti perjanjian-perjanjian sulit sebelum ini yang mencetuskan keresahan banyak pihak,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.