Kepimpinan UMNO Jangan ‘Apologetic’ Dalam Berbicara Soal Hak Islam, Bangsa – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa  pejuang-pejuang UMNO tidak perlu apologetic atau merasa bersalah dalam membicarakan soal-soal yang berkaitan Islam dan bangsa,  biarpun ada pihak-pihak tertentu yang cuba melabelkan UMNO sebagai sebuah parti rasis apabila berbicara tentang dua soal tersebut.

Katanya hari ini, semakin banyak suara-suara sumbang yang meremehkan perjuangan UMNO yang berpaksikan Melayu dan Islam, seolah-olah keputusan PRU-14 mencerminkan kehendak majoriti rakyat yang menolak politik berasaskan kaum dan agamaq, sedangkan tidak ada satu kajian yang membuktikan kenyataan itu.

“Dan lebih menyedihkan apabila ada di kalangan pemimpin UMNO sendiri yang mula rasa bersalah atau “apologetic” apabila berbicara mengenai agenda Agama dan Bangsa. Persoalannya kenapa kita perlu rasa malu dan bersalah dengan agenda Melayu, Islam dan Bumiputera?

“Seolah-olah memperjuangkan Bangsa dan Agama sebagaimana yang terpateri dalam Perlembagaan ini suatu yang hina dan rasis. Sedangkan bangsa lain yang berjuang menegakkan hak dan kepentingan mereka, sehingga kadangkala melangkaui batas Perlembagaan tidak pula dianggap rasis bahkan dijustifikasi pula atas nama hak asasi.

“Di dalam kamus  Oxford. Perkataan rasis dimaknakan sebagai satu kefahaman bahawa sesuatu bangsa itu lebih mulia berbanding bangsa lain hingga menebal nilai prejudis,  yang akhirnya membawa kepada perlakuan diskriminatif dan menindas hak bangsa lain kerana dianggap lebih rendah martabatnya berbanding bangsa mereka.

“Saya ingin bertanya,  Adakah UMNO selama ini bersikap rasis selama ini? Sepanjang  60 tahun UMNO menakhodai kerajaan, adakah bangsa lain ditindas dan dinafikan hak mereka? Adakah agama lain juga diperkotak-katikkan oleh kita?,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan dasar dalam persidangan Pemuda UMNO Malaysia yang berlansung di PTWC di sini hari ini.

Tambah beliau, UMNO sesekali  tidak pernah mendakwa Melayu-Bumiputera lebih mulia daripada bangsa lain dan parti ini juga tidak pernah mendesak kerajaan melaksanakan dasar yang menindas sehingga menafikan hak bangsa lain seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sebaliknya perjuangan UMNO sentiasa bersifat inklusif. Apabila kita berjuang untuk Melayu, kita juga berjuang untuk bangsa lain. Apabila kita berjuang untuk Islam, kita juga mempertahankan hak agama-agama lain. Kerana inilah tradisi kita.

“Inilah fitrah kita. Fitrah orang Melayu yang sentiasa menyantuni. Fitrah orang Melayu yang tinggi toleransi. Fitrah orang Melayu yang diakari oleh ajaran Islam yang menuntut kita untuk sentiasa menghormati agama-agama dan bangsa-bangsa lain.

“Sebab itulah sepanjang menerajui pemerintahan, UMNO melaksanakan pelbagai dasar yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan tanpa mengira agama dan bangsa secara saksama. Bahkan sehingga hari ini, kekayaan dan kemewahan ekonomi yang dinikmati oleh bangsa minoriti tidak pernah sesekali dipersoalkan, jauh sekali untuk dizalimi hak mereka untuk hidup mewah dalam negara ini.

“Jadi tidak ada sebab untuk kita merasa bersalah atau takut dilabelkan sebagai rasis dalam berbicara tentang soal hak Islam dan bangsa Melayu, kerana selama 60 tahun UMNO menjadi tonggak kepada pemerintahan negara, kita tidak pernah bersikap rasisi dengan membuat dasar kerajaan yang menindas dan menganiaya rakyat bukan Melayu dan bukan Islam di negara ini,” tegasnya.-MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.