UMNO Parti Konservatif Progresif, Bergerak Mengikut Lunas Perlembagaan – Zahid


KUALA LUMPUR, 28 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO adalah sebuah parti konservatif progresif  yang bergerak mengikut lunas-lunas Perlembagaan dan juga tatasusila serta sistem sosial yang ada di negara ini.

Sehubungan itu beliau menegaskan tanggapan berterusan dan tohmahan pihak luar bahawa UMNO adalah sebuah parti rasis adalah bertentangan dengan apa yang  diperjuangkan oleh parti berkenaan sejak sekian lama sehingga ke hari ini.

“UMNO harus dilihat bukan hanya sebuah parti politik…ianya sebuah institusi sosial kepada masyarakat majmuk di negara kita dan dalam perjuangan UMNO walaupun berteraskan kepada Islam dan rumpun Melayu tetapi kita tidak mengusik mana-mana agama lain untuk diamalkan oleh penganutnya.

“Begitu juga tidak pernah merasakan bahawa kaum lain dipinggirkan walaupun kita faham kita tidak harus menyamaratakan tetapi harus memberikan keadilan dan kesaksamaan dari segi perkhidmatan kepada semua kaum. Dalam sejarah UMNO 61 tahun sebagai tunjang kepada kerajaan Perikatan dan Barisan Nasional (BN), ada atau tidak dasarnya menekan bangsa lain…ada atau tidak dasarnya yang menekan agama lain?

“Sebagai institusi sosial di negara ini selain daripada parti politik, UMNO memperjuangkan soal kemajmukan agama, kemajmukan pelbagai bangsa dan budaya serta bahasa di negara ini tetapi teras utamanya terdapat di dalam Perlembagaan,” katanya dalam wawancara khas bersama UMNO-Online sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018, di sini, hari ini.

Tegas beliau adalah tidak adil hanya menyatakan UMNO sebagai rasis kerana memperjuangkan apa yang telah termaktub dan dipersetujui bersama menerusi kontrak sosial serta perkara teras yang terkandung di dalam Perlembagaan  negara.

“Perlembagaan menentukan bahawa perkara-perkara asas yang dipersetujui seperti  soal agama Islam, kedaulatan raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu dan  kedaulatan bahasa Melayu  adalah tonggak.

“Apakah kita dipanggil ekstremis kalau kita memperjuangkan apa yang terdapat di dalam Perlembagaan sedangkan empat perkara ini tonggak dan kita tidak lari daripada itu walaupun kita adalah parti yang konservatif dan progresif.

“Konservatif ertinya kita menggunakan acuan yang ada dengan tidak melupakan realiti kemajmukan di negara kita dan dalam keadaan itulah progresifnya kita tanpa kita mengenepikan lunas-lunas Perlembagaan dan juga tatasusila dan sistem sosial yang ada di negara kita,” ujarnya.

Jelas beliau lagi apakah parti-parti lain tidak rasis walaupun ianya berasaskan Melayu dan pelbagai faktor lain.

“Apakah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang berasaskan Melayu tidak rasis… Apakah Dap yang kebanyakan pemimpin utamanya adalah Cina tidak rasis. Adakah PKR pemimpin utamanya adalah kebanyakkan Melayu walaupun ada pelbagai agama lain itu dianggap parti majmuk keseluruhannya.

“Ataupun parti Amanah Negara (AMANAH) yang asas organisasinya serpihan daripada Pas tidak dianggap sebagai parti Islam. Jadi tidak adil kalau UMNO dilabelkan parti rasis,“ katanya. -MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.