Ahli Parlimen Wajib Sokong RUU Anti Lompat Parti Demi Kelancaran Pentadbiran Negara – Noor Hariri

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Pemuda UMNO Kelantan menyeru agar Ahli-Ahli Parlimen menyokong sepenuhnya Rang Undang- Undang (RUU) anti lompat parti yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat demi kestabilan dan kelancaran pentadbiran negara.

Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata mana mungkin seseorang Perdana Menteri dapat mentadbir negara ini dengan keadaan ahli Parlimen sentiasa  mengugut untuk lompat parti sekiranya tuntutan tidak munasabah mereka dipenuhi.

“Ini juga akan menjurus kepada aktiviti beli membeli ahli Parlimen yang tentunya menggalakkan amalan rasuah berleluasa dan tawaran jawatan demi kepentingan diri.

“Akibat yang amat besar sekali daripada ketidakstabilan politik ini adalah ekonomi negara kita tidak akan berkembang ekoran ketiadaan pelabur asing yang berani masuk ke Malaysia.

“Ini tentunya akan memberi ‘chain effect’ terhadap sektor perkilangan, pembuatan dan pertanian yang menjadi enjin ekonomi negara kita sekaligus meningkatkan masalah pengangguran belia,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Seterusnya kata Hariri lagi, Pemuda UMNO Kelantan mencadangkan agar kerusi ahli Parlimen yang lompat ini dikekalkan kepada Parti tersebut.

“Tidak perlu diadakan pilihan raya kecil, hanya parti tersebut menamakan sahaja calon wakil rakyat untuk menggantikan si pelompat tadi. Dengan cara ini, wang rakyat dan masa dapat dijimatkan oleh Kerajaan.

“Apa yang diperkatakan sekalipun mandat yang diperoleh daripada rakyat perlu dikembalikan kepada rakyat dengan secara sah,” jelasnya.

Katanya lagi, Kerajaan perlu jelas dengan dua perkara ini.

1. Apakah jenis ‘lompat’ ini?
i. PARTI buat keputusan Lompat secara En-Bloc
(cth: Bersatu ke gagasan lain menubuhkan PN)
 
ii. Ahli Parlimen secara individu lompat parti ke gagasan lain iaitu daripada pembangkang ke Kerajaan)
(cth: 15 MP BN lompat ke Bersatu)
(cth: 10 MP Pkr lompat ke Bersatu)
 
iii. Ahli Parlimen secara individu lompat parti dalam gagasan yang sama
(cth: Maszlee Malik dari Pejuang lompat ke PKR)
(cth: 3 ADUN Amanah Johor lompat ke PKR)
 
iv. Ahli Parlimen yang dipecat oleh Parti sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja.
 
2. Bagaimanakah cara untuk penyelesaian kepada Kerusi ‘lompat’ ini? – UMNO Online
Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit