Ahli Parlimen Wajib Sokong RUU Anti Lompat Parti Demi Kelancaran Pentadbiran Negara – Noor Hariri
KUALA LUMPUR, 27 Julai – Pemuda UMNO Kelantan menyeru agar Ahli-Ahli Parlimen menyokong sepenuhnya Rang Undang- Undang (RUU) anti lompat parti yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat demi kestabilan dan kelancaran pentadbiran negara.
Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata mana mungkin seseorang Perdana Menteri dapat mentadbir negara ini dengan keadaan ahli Parlimen sentiasa mengugut untuk lompat parti sekiranya tuntutan tidak munasabah mereka dipenuhi.
“Ini juga akan menjurus kepada aktiviti beli membeli ahli Parlimen yang tentunya menggalakkan amalan rasuah berleluasa dan tawaran jawatan demi kepentingan diri.
“Akibat yang amat besar sekali daripada ketidakstabilan politik ini adalah ekonomi negara kita tidak akan berkembang ekoran ketiadaan pelabur asing yang berani masuk ke Malaysia.
“Ini tentunya akan memberi ‘chain effect’ terhadap sektor perkilangan, pembuatan dan pertanian yang menjadi enjin ekonomi negara kita sekaligus meningkatkan masalah pengangguran belia,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Seterusnya kata Hariri lagi, Pemuda UMNO Kelantan mencadangkan agar kerusi ahli Parlimen yang lompat ini dikekalkan kepada Parti tersebut.
“Tidak perlu diadakan pilihan raya kecil, hanya parti tersebut menamakan sahaja calon wakil rakyat untuk menggantikan si pelompat tadi. Dengan cara ini, wang rakyat dan masa dapat dijimatkan oleh Kerajaan.
“Apa yang diperkatakan sekalipun mandat yang diperoleh daripada rakyat perlu dikembalikan kepada rakyat dengan secara sah,” jelasnya.
Katanya lagi, Kerajaan perlu jelas dengan dua perkara ini.