Johor Sasar Kekal Jadi Pengeluar Utama Hasil Pertanian Hingga 2027

SEGAMAT, 2 Julai – Johor menyasarkan untuk kekal sebagai pengeluar utama hasil pertanian di negara ini dalam masa lima tahun akan datang setelah mencatatkan jumlah pengeluaran sebanyak 736,178 tan metrik pada tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip berkata sasaran peningkatan hasil pertanian itu membabitkan buah-buahan sebanyak 34 peratus dan 32 peratus bagi sayur-sayuran berikutan pembukaan kawasan baharu pertanian di negeri ini seluas 1,214 hektar.

Katanya pada 2021 jumlah pengeluaran buah-buahan di negeri itu adalah sebanyak 569,004 tan metrik, manakala bagi sayur-sayuran 167,174 tan metrik.

“Antara hasil pertanian utama dikeluarkan oleh Johor adalah nanas, durian, pisang, betik dan tembikai, selain cili, bendi dan halia bagi sayur-sayuran, yang bukan sahaja untuk pasaran tempatan malah akan dieksport,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Agro Johor di Dataran Bandar Segamat di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Johor Azizi Azimi Mat Nayan.

Mengulas mengenai eksport hasil pertanian Johor, Zahari berkata nanas terutama jenis MD2 kini mendapat permintaan yang tinggi di Eropah.

“Eksport buah berkenaan semakin meningkat dan setiap minggu kita menerima tempahan sekitar 1,000 kontena yang akan diletakkan di hub pengedaran di Jerman untuk pasaran Eropah, selain turut mendapat permintaan tinggi di Timur Tengah seperti Turki dan beberapa negara Arab lain,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.