Malaysia Komited Wujudkan Bandar Yang Boleh Didiami, Mampan

KATOWICE (POLAND), 28 Jun – Malaysia komited untuk mewujudkan bandar yang boleh didiami dan mampan yang akan meningkatkan kualiti hidup penduduknya, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

“Ia merupakan prinsip teras dalam usaha Malaysia mengejar pembangunan dan pertumbuhan ekonomi,” kata Reezal Merican ketika menyertai sesi Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) pada Forum Bandar Dunia ke-11 (WUF11) di sini pada Isnin.

Berdasarkan pengiraan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat), urbanisasi di Malaysia dijangka mencapai 80 peratus menjelang 2030.

“Melalui proses urbanisasi, maka wujudlah masalah kemiskinan, kesesakan, dan pencemaran. Ia adalah cabaran “di sini dan sekarang” – isu yang perlu ditangani secara kolektif. Ini akan membuka jalan kepada kualiti hidup yang lebih baik bagi mereka yang hidup pada hari ini dan melindungi generasi masa depan kita,” kata Reezal Merican.

WUF telah dimulakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2001 untuk mengkaji salah satu isu paling mendesak yang dihadapi dunia hari ini iaitu pembandaran pesat dan kesannya terhadap masyarakat, bandar, ekonomi dan perubahan iklim.

Dianjurkan dan diadakan oleh UN-Habitat, forum berkenaan merupakan antara perhimpunan antarabangsa yang paling inklusif mengenai isu-isu bandar yang menghimpunkan wakil kerajaan negara, wilayah dan tempatan, ahli akademik, ahli perniagaan, pemimpin masyarakat, perancang bandar dan wakil masyarakat sivil.

Reezal Merican berkata pandemik COVID-19 telah membuka mata dan mendedahkan mengenai kepincangan, ketidakcekapan dan kelemahan yang wujud dalam masyarakat dan negara-negara menutup pintu sempadan mereka selain pergerakan antara bandar dihadkan dan orang ramai terkurung di dalam ruang yang terhad.

Situasi ini katanya mengakibatkan lonjakan dalam isu kesihatan mental dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendedahkan bahawa terdapat peningkatan 25 peratus dalam kes kebimbangan dan kemurungan di seluruh dunia ketika kemuncak wabak itu.

“Ruang kediaman mesti benar-benar sesuai untuk didiami dan kerajaan perlu memastikan rumah sesuai untuk tinggal, bekerja dan bermain.

“Rumah juga mesti mudah diakses kepada kemudahan kesihatan awam, dengan kesalinganhubungan yang baik antara infrastruktur pengangkutan awam dengan kawasan hijau dan tanah lapang yang mencukupi, serta mempunyai ketersambungan Internet yang baik,” katanya.

Reezal Merican berkata kerajaan Malaysia sangat menitikberatkan kesejahteraan keseluruhan dan kebolehdiaman 32 juta penduduknya.

“Kami juga komited untuk merealisasikan sebuah negara yang mampan dengan agenda kukuh untuk pembangunan hijau – seperti yang dinyatakan dengan jelas dalam Rancangan Malaysia Ke-12, iaitu rancangan pembangunan negara lima tahun yang menjangkau dari 2021 hingga 2025,” katanya.

Reezal Merican berkata beliau sentiasa mengingatkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, yang diterajuinya, bahawa usaha meningkatkan kebolehdiaman adalah penting iaitu bermula dari membina rumah mampu milik, seterusnya perancangan bandar, mewujudkan lebih banyak taman-taman awam dan pengurusan sisa yang berkesan.

“The Liveable Malaysia agenda, yang kami namakan Agenda Malaysia Berdaya Huni adalah penyelesaian ke arah mewujudkan bandar dinamis sesuai untuk didiami dan memenuhi keperluan rakyat,” katanya. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.