Konvensyen BN: Perkukuh Haluan BN Untuk Terus Juarai Hati Rakyat

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Ahli akademik dari Jabatan Sosiobudaya Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berpandangan Barisan Nasional (BN) mempunyai komitmen tersendiri dalam menjuarai hati rakyat.

Katanya, ini termasuklah dalam memperjuangkan harga keperluan barangan asas yang meningkat sejak kebelakangan ini dan memerlukan suatu pendekatan baharu dilakukan bagi mengatasi masalah ini.

Jelas beliau ini kerana ianya menjadi isu besar kepada rakyat yang terbeban dengan kenaikan harga keperluan di pasaran.

“Ada usaha kita lihat untuk menjuarai isu rakyat walaupun ada yang melihat ianya populis tapi apa yang dimahukan oleh rakyat apabila berdepan dengan masalah kenaikan harga ayam, ikan, tepung… bangun tidur rakyat perit memikirkan pedihnya kehidupan.

“Bagaimana BN boleh menawarkan kepada rakyat sama ada melalui idea-idea kepimpinanan utama jika kemukakan idea bernas dan diyakini oleh semua pihak… saya kira ini penyebab BN akan jadi pilihan di samping pengalaman pentadbiran dan tawaran baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada diskusi Konvensyen BN yang bertajuk ‘Masa Depan Barisan Nasional’ yang dikendalikan selaku moderator oleh Pengarah Komunikasi BN, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Sementara itu bagi ahli akademik selaku Politikal Sosiologi di Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Sivamurugan Pandian berpandangan BN perlu untuk melihat mood sesebuah parti pembangkang.

Ujar beliau, ini penting bagi memastikan BN merangka strategi baharu bagi berhadapan dengan parti lain terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

“Apabila ada perubahan kepimpinan parti pembangkang itu harus dinilai, diperhalusi sebaik mungkin supaya kita tahu pemikiran pembangkang.

“Lakukan strategi mengatasinya untuk melihat itu bukan sekadar ancaman daripada musuh politik tetapi adalah pesaing yang juga sebenarnya turut melakukan perubahan dan pembaharuan,” katanya.

Melihat kepada aspek masyarakat Cina, Insap Think Tank Trustee, Soong Fui Kiun berpandangan mereka mahukan sebuah kepimpinan baharu yang memberikan perubahan.

“Sentimen semasa adalah mereka menunggu kepimpinan baharu yang boleh membawa mereka menjadi lebih berdaya saing… jadi calon mewakili BN adalah sangat penting kepada mereka,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.