UMNO Berterusan Komited Bawa Agenda Perjuangan Rakyat – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan bahawa UMNO berterusan dan komited dalam membawa agenda perjuangan rakyat.

Katanya, perkara itu dapat dilihat melalui pentadbiran Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memartabat penggunaan Bahasa Melayu di samping seiring fokus ke arah pengukuhan ekonomi negara.

“Saya tegaskan UMNO akan terus perjuangkan #ABATA agama, bangsa dan tanah air. Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang dirasmi Perdana Menteri satu contoh terkini… peningkatan ekonomi juga dimantapkan.

“Model kejayaan di Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor akan diteruskan dalam PRU15. Diharap rakyat akan terus memilih BN bagi kerajaan yang stabil dan sejahtera,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang diadakan pada semalam.

Turut hadir kepimpinan parti politik termasuk Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah; Veteran politik, Tan Sri Syed Hamid Albar dan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata MPM diusulkan untuk memberi peluang kepada golongan muda terlibat secara langsung pada program pertubuhan ini demi penyatuan orang Melayu.

“MPM juga dicadang agar meramaikan kehadiran pimpinan orang muda, generasi baru dlm program- program mereka akan datang,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit