Perhimpunan Agung Khas UMNO Bukan Saja-saja, Perjuangan Demi Masa Hadapan – Tengku Adnan
KUALA LUMPUR, 14 Mei – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan bahawa Perhimpunan Agung Khas yang bakal dilaksana esok atas hasrat untuk meminda Perlembagaan parti bukan perkara yang saja-saja dibuat tetapi sudah diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO lalu.
Katanya, ianya dilaksana kerana UMNO adalah wadah dalam meneruskan kesinambungan perjuangan dari dulu, untuk hari ini dan demi masa hadapan.
“Cantiknya UMNO, ada organisasi, berinstitusi dan mempunyai Perlembagaan yang jelas. Kesatuan dalam kalangan ahli-ahli UMNO juga amat murni apabila keputusan dilakukan secara perbincangan. Dari mesyuarat peringkat Cawangan dibawa ke Bahagian dan diangkat dalam persidangan perwakilan ribuan Perhimpunan Agung UMNO.
“UMNO adalah parti yang akur dengan perundangan dan menghormati suara kesepakatan. Perhimpunan Agung UMNO Khas adalah urusan rasmi mengikut RoS (Pendaftar Pertubuhan) bagi meminda Perlembagaan untuk disesuaikan dengan keputusan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2021 agar pemilihan dibuat selepas pilihan raya,” katanya menerusi hantaran dalam laman facebooknya, hari ini.
Ujarnya yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, UMNO bukan parti sembarangan, mempunyai aturan dan peraturan, sebagaimana ditubuhkan atas hasrat demi agama, bangsa dan negara maka kemurnian cita-cita adalah manifestasi kelevanan parti biarpun telah 76 tahun usianya.
“Sekarang ini, kita hormatilah institusi yang ada dalam UMNO malah peliharalah dengan kebersamaan untuk terus menyemarakkannya sebagai sebuah perjuangan berterusan.
“Semoga apa yang kita rencanakankan mendapat keberkatan Ilahi dan sama-samalah kita jayakan Perhimpunan Agung Khas UMNO esok,” katanya lagi. – UMNO Online