Rapatkan Saf Perjuangan, Jangan Beri Ruang Musuh Ambil Kesempatan – Ir Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Ketua Pemuda UMNO Negeri Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain menyeru kepada semua ahli-ahli UMNO untuk merapatkan saf perjuangan.

Menurutnya, UMNO perlu bersatu padu dan tiada guna ahli UMNO ramai tapi berantakan antara satu sama lain malah ia akan beri ruang kepada musuh untuk ambil kesempatan.

“Jangan kita seperti buih-buih di laut, banyak tapi tidak punya daya dan kekuatan. Banyak tapi dipermainkan gelombang lautan, dihempaskan ketepian pantai tanpa punya makna dan erti.

“Andainya kita terlupa, UMNO ini sebuah perjuangan. UMNO ini wujud bukan kerana pangkat dan harta tetapi wujud kerana derita umat Melayu Bumiputera hasil warisan sistem Kolonial British yang berabad lamanya.

“Kita ketinggalan dalam pelbagai segi kerana penjajah British telah membahagikan fungsi ekonomi mengikut kaum. Sebab itu UMNO perjuangkan untuk mengurangkan jurang perbezaan antara kaum sekaligus mewujudkan perpaduan kaum yang boleh membawa kestabilan dan kemakmuran buat negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.

Tegasnya, UMNO akan ditolak sekali lagi oleh rakyat jika hanya kerana sedikit kuasa yang dipinjamkan alpa dan lemas menjadi bahana.

“Kala ini kita sedang diuji dengan sedikit kesenangan dan kuasa dan masih ada tanggungjawab besar buat rakyat iaitu membangun negara ini mengikut acuan dan ramuan UMNO/BN yang sebenar,” katanya lagi.

Persoalannya, apakah UMNO semakin kukuh dan utuh atau mula berpuak-puak?

“Jangan… jangan UMNO berpecah-belah tatkala gendang perang sedang kuat dipalu.

“Ayuh, jangan kita sia-siakan masa yang tersisa. Sudah datang saatnya untuk kita bersama-sama, bahu membahu memenangkan parti keramat ini,” ujarnya yang turut mengucapkan selamat menyambut ulang tahun UMNO ke-76 tahun.

Beliau turut menyertakan serangkap pantun kepada seluruh ahli UMNO bagi menyambut ulang tahun UMNO.

Kamilah generasi pemuda,
Di pundak kami masa depan bangsa;
Kami pikul tanpa diarah,
Walau tubuh bermandikan darah. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.