Penyatuan Ahli Parti, Kekuatan Sebenar Dibawa UMNO – Khairi

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Mohammad Khairi A. Malik meluahkan kesyukuran atas semangat perjuangan dicapai kepimpinan UMNO dalam menentukan hala tuju parti.

Katanya ini menunjukkan perpaduan yang utuh dicapai terutama selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dalam persediaan menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Saya sangat gembira dengan semangat permuafakatan ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO dalam menguruskan perjalanan parti ketika kita berdepan dengan cabaran menghadapi PRU15.

“Parti nampaknya fokus ke arah melaksanakan segala keputusan yang telah dibuat ketika PAU iaitu bersetuju utk melaksanakan pemilihan parti selepas PRU15 dan menyerahkan kepada ‘top five’ untuk menentukan bilakah tarikh PRU15 akan diadakan,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Jelas Mohammad Khairi, penyatuan ini memberikan kelebihan buat parti keramat ini apatah lagi semangat perjuangan yang ditunjukkan ahli akar umbi parti bagi membawa agenda kemenangan pada pilihan raya akan datang.

“Ini menunjukkan UMNO gerak kerjanya ke arah menyatukan ke semua peringkat kepimpinan baik di Majlis Kerja Tertinggi mahupun di peringkat bahagian sebagai persediaan untuk berdepan dengan PRU15.

“Jadi bila sudah dalaman partinya kuat dan ada kebersamaan di semua peringkat kepimpinan maka bila-bila nak diadakan pilihan raya tentu tak menjadi masalah kepada UMNO.

“Itu yang dilihat iaitu UMNO bergerak bukan berdasarkan semata-mata apa yang nak digerak atau dirancang oleh pihak pembangkang tapi ada hala tuju sendiri,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit