RUU Anti Lompat Parti Langkah Pertama Kembalikan Transformasi Institusi Politik Negara
KUALA LUMPUR, 11 April – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berpandangan sidang khas Dewan Rakyat yang berlangsung hari ini membawa signifikannya tersendiri kepada transformasi institusi politik negara.
Katanya ini kerana Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 yang berlangsung hari ini suatu langkah awal kepada penambahbaikan sistem demokrasi.
“Hari ini 11 April 2022 adalah suatu hari yang akan tercatat dalam lembaran sejarah negara kerana Dewan Rakyat ini akan meluluskan suatu usaha besar… langkah seribu tapak sudah tentu dimulakan dengan tapak pertama.
“Saya berharap agar RUU Anti Lompat Parti akan dibentang secepat mungkin kerana sesi libat urus telah dilaksanakan banyak kali dalam tempoh beberapa bulan yang lalu.
“Sebelum ini saya menyebut bahawa Malaysia akan menjadi salah satu negara contoh dalam demokrasi yang terbaik jika akta ini dibuat. Jangan cemari demokrasi mandat rakyat di negara ini dengan perbuatan melompat parti,” katanya ketika ucapan perbahasan dalam Dewan rakyat pagi tadi.
Jelas beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO, perkara sama turut dihasratkan oleh parti pada Perhimpunan Agung UMNO berkenaan RUU Anti Lompat Parti ini untuk disegerakan pelaksanaannya.
“Pembuat dasar bagi parti saya UMNO iaitu PAU 2021 pada 19 Mac telah dengan sebulat suara meluluskan usul yang berbunyi ‘menggesa melaksanakan transformasi institusi politik termasuk cadangan yang diperjuangkan agar Akta Anti Lompat Parti dan pindaan politik dibentangkan di Dewan Rakyat serta memperkasakan institusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri,” ujar beliau.
Terdahulu sidang khas Dewan Rakyat hari ini dilaksanakan secara berterusan tanpa berhenti rehat setelah diluluskan menerusi undian suara Ahli Parlimen selepas ia dikemukakan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun. – UMNO Online