Bertanggungjawab Ketika Kongsi Maklumat Mengenai Institusi Diraja – Imam Besar
KUALA LUMPUR, 7 Sept – Rakyat Malaysia khususnya umat Islam diingatkan supaya lebih bertanggungjawab ketika menyebarkan maklumat yang belum tentu kesahihannnya terutama melibatkan institusi diraja.
Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya, Datuk Abd Manaf Mat berkata institusi diraja yang sepatutnya dihormati kini berdepan dengan cabaran tertentu yang berusaha mengganggu institusi itu terutama melalui media sosial.
“Kebelakangan ini, terdapat banyak isu yang dilontarkan belum dipastikan kesahihannya apatah lagi yang tidak mempunyai mana-mana sandaran mahupun bukti yang dilihat mampu menyebabkan kemudaratan dan mengganggu kemaslahatan rakyat.
“Sebagai seorang muslim, hendaklah kita berpegang teguh kepada prinsip syariat Islam iaitu memerintahkan supaya kita menjaga lisan dan menahan diri agar tidak menulis dan menyatakan perkara yang tidak ada bukti kebenarannya,” katanya semasa menyampaikan khutbah khas solat Jumaat di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara di sini, hari ini.
Khutbah bertajuk ‘Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong: Asas Kestabilan dan Kemakmuran Negara’ disampaikan sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V, Ahad ini.
Turut menunaikan solat Jumaat di masjid itu ialah Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) Dr Md Farid Md Rafik.
Abd Manaf berkata Islam menuntut rakyat untuk mentaati dan menghormati raja kerana ia adalah satu daripada prinsip Ahlus Sunnah wal Jama’ah.
“Seri Paduka Baginda adalah ketua negara yang mempunyai keperibadian tinggi dalam menjalankan bidang kuasa menjaga negara dan kesucian Islam,” katanya sambil menegaskan bahawa kedaulatan Islam dan kemajuan negara adalah berasaskan kepada kekuatan Yang di-Pertuan Agong.
Selain itu, beliau berkata sokongan padu barisan pembesar dan penasihat negara yang mengurus tadbir dengan cemerlang meneguhkan lagi kedudukan Yang di-Pertuan Agong.
Abd Manaf berkata rakyat menjunjung kasih dan merafak sembah di atas keprihatinan Yang di-Pertuan Agong dalam memartabatkan Islam, memajukan negara dan membantu rakyat supaya hidup dengan aman dan harmoni.