MB Kedah Hati-hati Ketika Bercakap, Jangan Tiru Acuan PH – Johan Rizal

KUALA LUMPUR, 17 Feb – Pengarah Komunikasi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri mengingatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mohammad Sanusi Md Nor untuk berhati-hati memberikan kenyataan dan tidak meniru acuan Pakatan Harapan (PH) yang seringkali bertindak sebagai pemecah belah.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi apabila pemimpin PAS itu di Johor yang mendakwa bahawa sekiranya Barisan Nasional (BN) tidak memiliki banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kononnya kerajaan di negeri itu akan stabil seperti di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Saya kagum dengan tahap keyakinan beliau dan beberapa pemimpin PAS atas kenyataannya di Johor baru-baru ini. Namun benarkah hipotesis tersebut? Atau ianya hanyalah satu telahan tukang karut yang tidak signifikan yang memanipulasi sampel tidak berkredibiliti? Sekadar kenyataan syok sendiri yang difikirkan relevan untuk menipu bangsa Johor dengan memburuk-burukkan BN?

“Cuma saya suka mengingatkan Mohammad Sanusi bahawa tidak tahu jaga mulut dan melepaskan kata sesuka hati juga kadangkala mudah menjadikan sesebuah kerajaan itu tidak stabil juga.

“Jika Ketua Pilihan Raya PAS tetap mahu menegakkan benang yang basah, bagaimana jika saya kemukakan teori; ‘PAS bertanding satu kerusi DUN di PRN Sarawak, PAS kalah 100 peratus. Hasilnya, kerajaan Sarawak stabil. PAS bertanding 8 kerusi DUN di Melaka, PAS kalah 100 peratus. Kerajaan Melaka stabil. Jika PAS bertanding 56 kerusi DUN di PRN Johor dan kalah 100 peratus, kerajaan Johor juga insya-Allah akan stabil’. Setujukah Sanusi dengan hipotesis itu?” soalnya menerusi satu kenyataan.

Mengambil contoh situasi sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Syed Mohd Johan yang juga Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Kedah berkata BN memiliki majoriti yang selesa di kebanyakkan negeri di seluruh negara kecuali di Kelantan namun tiada kedengaran tindakan ‘katak-katak’ melompat parti.

“Jika pun ada, tindakan katak-katak itu tidak dapat menggugat kestabilan politik di negeri-negeri ditadbir BN kerana memiliki majoriti yang kukuh. Di Pahang pula ketika ini BN memiliki 29 kerusi DUN, manakala PAS dan PH masing-masing memiliki 8 dan 9 kerusi DUN sahaja. Adakah kerajaan negeri Pahang tidak stabil?

“Setelah PRN Melaka tempoh hari, BN memiliki 21 kerusi DUN, manakala PH memenangi 5 kerusi dan PN hanya sempat mencuri 2 kerusi sahaja. Persoalannya, adakah PH dan PN dapat mencabar kestabilan politik di kedua negeri itu?” soal beliau.

Tambah beliau lagi, Mohammad Sanusi sebagai pemimpin dari sebuah parti Islam perlu berkata benar memberitahu rakyat terutama di Johor yang bakal mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) bahawa hakikat sebuah kerajaan yang stabil tidak akan tercapai jika jumlah kerusi DUN kerajaan dan pembangkang berada dalam kedudukan yang berlebih, seri atau kelebihan satu kerusi DUN sahaja.

“Apatah lagi kerajaan itu sering diugut ‘tekan butang’ oleh rakan tadbirnya pastinya kerajaan itu lemah, goyah, tidak efektif, sukar dalam pembuatan keputusan, kecelaruan tindakan dasar dan membantutkan pentadbiran kerajaan tersebut. Itu adalah antara faktor terbesar yang menjadi punca kerajaan Melaka dan Johor dibubarkan.

“Wahai menteri besar Kedah, ketidakstabilan politik itu melibatkan banyak faktor seperti ‘katak-katak politik’, ugutan rakan tadbir untuk ‘menekan butang’, sikap kerjasama tidak ikhlas, jumlah kerusi DUN yang majoritinya terlalu sedikit dan sebagainya.

“Saya fikir beliau harus lebih bertanggungjawab dalam kenyataannya kita nak rakyat pilih sebuah kerajaan yang baik dan stabil, bukan pilih kerajaan hasil dari kempen pemimpin berwatak ‘penjual ubat’ di pasar malam berbohong, pandai berkata-kata untuk lakukan produk ‘ubat’ sehinggakan ubat sapu disuruhnya makan,” ujar beliau.

Sementara itu Syed Mohd Johan mengakui bahawa kerajaan negeri Kedah adalah stabil ekoran UMNO/BN negeri itu yang bertindak rasional, tidak mudah melatah, tiada sikap khianat ‘menekan butang’ dan lebih mementingkan kestabilan politik untuk memajukan negeri.

Bagaimanapun, katanya pendirian pemimpin UMNO/BN di negeri itu juga berkemungkinan akan berubah pada Pilihan Raya Umum ke-15 kelak setelah melihat PAS seolah tidak lagi memperkukuh, malah berusaha meruntuhkan Muafakat Nasional. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit