BN Tak Perlu Hina, Fitnah Lawan Politik… BN Berorientasikan Kepentingan Rakyat Dan Negara

KUALA LUMPUR, 5 Feb – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berkata BN tidak perlu menghina dan memfitnah lawan politik.

Ini kerana kata Presiden UMNO itu, BN berhujah atas kebenaran dan menyerahkan kepada masyarakat untuk menilai.

“BN sebagai ketumbukan politik berorientasikan kepentingan rakyat dan negara tidak perlu bersikap melampau kerana BN sejak penubuhannya bukan parti pelampau.

“Lagipun kita percaya pola pemikiran politik rakyat Malaysia pastinya semakin matang selepas apa mereka saksikan dengan mata sendiri natijah sesudah PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14).

“Jika mahu juga itik dijadikan perumpamaan, maka BN ibarat itik bertelur emas yang memayungi rakyat dengan kemakmuran, kesejahteraan dan kestabilan,” kata Ahmad Zahid dalam satu perkongsian di Facebook.


Begitu juga ulas Ahmad Zahid, timbul persoalan bagaimana BN yang menang banyak Pilihan Raya Kecil (PRK) dan baru sahaja mengungguli Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November lalu boleh dianggap tidak lagi relevan.

“Relevan sesebuah parti politik dalam sesebuah negara demokrasi adalah berlandaskan keyakinan dan sokongan semasa yang diterjemahkan oleh rakyat.

“Maka dalam memperhalusi tohmahan terhadap BN itu wajar diteliti parti manakah yang sebenarnya telah dan sedang hilang keyakinan majoriti rakyat Malaysia,” katanya.

Tegasnya lagi, tidak benar BN mahu diumpamakan seperti itik patah kaki kerana meskipun BN tewas pada PRU-14, tetapi tewas sekali bukan bermakna tewas selama-lamanya.

“Sudah lebih tiga tahun sejak 9 Mei 2018 berlalu dan BN telah pun ‘move on’ sejak itu menuju ke destinasi kebangkitan selangkah demi selangkah.

“Segala cacian, penghinaan, sekatan dan tekanan untuk menghalang kemaraan BN oleh mereka yang cemas tidak permah jadi kudis yang melemahkan,” katanya.

Seterusnya, Ahmad Zahid menggesa segelintir pihak supaya memahami BN sebagai sebuah parti poltik yang sah ada hak demokrasi untuk berusaha bangkit dan sedang melakukannya dengan penuh kecekalan lagi bersungguh-sungguh.

“Justeru, tentunya tiada sebab untuk BN perlu akur kepada desakan pihak tertentu supaya berhenti daripada mara dan menyerah kepada kemahuan mereka.

“Walaupun mereka yang mendesak itu berselindung di sebalik karakter perpaduan, tetapi kesumat sebenar telah pun disahkan mahu menamatkan UMNO,” bidasnya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit