BN Pilihan Terbaik, Rakyat Mahukan Kestabilan – Khaled

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Melaka telah memberikan Barisan Nasional (BN) suatu keyakinan bahawa ia sebenarnya adalah ‘pilihan’ terbaik untuk Malaysia.

Ini kerana katanya, BN menyajikan politik yang sederhana, menghargai kemajmukan dan progresif serta pengalaman mengurus kepelbagaian yang telah teruji.

“Rakyat Melaka telah memilih Kerajaan yang baharu. Mandat kepada BN menunjukkan bahawa mereka mahukan kestabilan politik, dan mengekalkan kestabilan politik itulah yang akan menjadi keutamaan BN, Insya-Allah,” katanya dalam hantaran menerusi laman facebooknya.

Jelasnya, Melaka adalah babak penting dalam kebangkitan semula BN menguasai Kerajaan Pusat.

“Bermula dengan pelbagai kemenangan dalam pilihan raya kecil sebelum ini, Melaka adalah momentum yang menderaskan lagi usaha BN untuk menguasai semula Kerajaan.

“Di Melaka, BN juga telah memaparkan kesungguhannya untuk pembaharuan. Penampilan 87 peratus calon yang baharu, bersih, dan berwibawa bermakna BN telah melepasi halangan yang sangat besar dalam usaha pembaharuannya.”

Ujarnya, Melaka menyaksikan ‘generational change’ yang sangat BN perlukan.

“BN juga tegas mempelopori pembanterasan politik lompat melompat yang tidak bermoral. BN sekarang akan melaksanakan pembanterasan tersebut dengan segera.

“Pengajaran terbesar dari episod pilihan raya di Melaka ialah rakyat mahukan politik yang stabil dan berprinsip.

“Kestabilan hanya akan wujud jika ada sebuah parti politik yang dominan menguasai Kerajaan, kerana itulah semangat sebenar sebuah sistem demokrasi ala ‘Westminster’. Model ‘Westminster’ bukan perikatan parti-parti kecil dan sederhana membentuk Kerajaan. Situasi seperti itu adalah rumusan kepada ketidakstabilan sebenarnya.

Kata beliau, BN mengambil risiko yang besar dalam membuat perhitungan politiknya di Melaka namun BN bukan jenis ‘risk averse’ atau mengelak risiko, malah ia sanggup menghadapi segala risiko demi keberhasilan yang berlipat ganda.

“Perang terbesar yang BN harus hadapi selepas ini ialah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. BN tidak akan melepaskan peluang ini untuk kembali mentadbir Malaysia.

“Tetapi perjalanan BN menuju PRU ke-15 bukanlah mudah. Pengundi milenial dan sokongan bukan Melayu adalah cabaran yang sangat mencabar. BN perlu bekerja keras bagi menanganinya,” katanya lagi.

Terdahulu, pada 20 Nov lalu, BN memenangi dua pertiga PRN Melaka dengan menewaskan pencabarnya, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) dengan memperoleh 21 kerusi berbanding dua milik PN dan lima kerusi yang dipertahankan PH. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.