SOP Kempen Dibiasakan, Pendekatan Kreatif Menuju PRU-15 – Shahril Hamdan


KOTA MELAKA, 17 Nov – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan berpandangan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini sebagai permulaan kepada menggunakan kempen kaedah baharu.

Katanya ini kerana meskipun UMNO secara lazimnya menggunakan pendekatan kempen konvensional namun cara baharu seperti digunakan pada kempen PRN ini perlu diaplikasi sebagai persiapan menuju ke PRU-15.

“Saya rasa pengajaran apa sahaja keputusan mesti dimurnikan dengan kaedah tradisional dan baharu bergerak seiring bukan hanya bergantung harap pada cara tradisional.

“Kalau SOP yang sebelum ini kita cakap akan buat skrin LED atau ceramah dalam trak tetapi akhirnya tidak akan buat sebab perlu fokus pada ceramah yang biasa jadi tenaga dan fokus kita akan pergi ke situ.

“Jadi bila ada SOP ini usaha kita ke arah kempen norma baharu untuk buat video sketsa dan sebagainya iaitu perkara yang membawa sentuhan penyampaiannya atau barang kali lebih jauh berbanding dengan kaedah secara lazim,” katanya.

Sementara itu Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada semalam berkesempatan melakukan sesi ceramah menggunakan kereta pacuan empat roda di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas.

Menurut Shahril beliau optimis pendekatan baharu kempen seperti ini berupaya sampai ke pemikiran rakyat kerana ianya disifatkan lebih santai dan bersahaja.

“Seperti kelaziman kita turun berkempen dengan norma baharu iaitu beberapa DUN yang saya pergi daripada pagi sampai ke petang semuanya melibatkan penggunaan kaedah yang kreatif untuk sampaikan mesej kempen kepada rakyat.

“Sama ada kita bagi risalah dalam peti surat di rumah pengundi ataupun kita menggunakan trak LED yang mana isi kandungannya kita sesuaikan mengikut kawasan.

“Saya juga turut serta dengan kita duduk dan pasang sistem siar raya, kenderaan bergerak dan tidak berhenti tanpa membuatkan pengumpulan orang kerana yakin melalui kaedah-kaedah yang kreatif dilaksana akan dapat membantu BN menang pada 20 Nov,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.