Calon Muda: Keterbukaan Parti Beri Impak Besar, Bawa Idea Baharu – Ahmad
JASIN, 16 Nov – Bekas Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah berpandangan keterbukaan parti memilih calon muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini bakal membawa impak yang besar dalam membawa perjuangan parti.
Jelas beliau, ini kerana golongan ini bakal membawa idea baharu untuk memastikan UMNO sentiasa relevan dalam menghadapi perubahan zaman.
“Calon-calon yang diketengahkan ini adalah satu lambang bahawa UMNO ini terus hidup dan kita mahu mereka ini sentiasa berkebolehan dan lebih bertenaga agar kita boleh ketengahkan mereka ini.
“Saya yakin dengan cara yang dilakukan UMNO pada ketika ini adalah petanda yang cukup baik dan cukup sihat malah dapat diterima bukan sahaja dalam kalangan muda bahkan segenap lapisan masyarakat kerana mereka hendakkan wakil-wakil mereka yang lebih bertenaga.
“Bukan sahaja daripada segi fizikal bahkan dari segi idea kita yakin orang muda boleh bawa satu pembaharuan kepada cara UMNO,” kata Ahli Parlimen Jasin itu lagi kepada UMNO Online ketika ditemui baru-baru ini.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan percaya pengalaman yang dimiliki golongan muda ini bakal digunakan sebaik mungkin terutama mendepani kerjaya dalam bidang politik.
“Kita dapat lihat bahawa sekarang calon-calon yang diperkenalkan oleh UMNO pada ketika ini adalah datangnya daripada kepelbagaian latar belakang dari segi profesional bahkan mereka sebenarnya ada pengalaman yang telah sedia ada.
“Sejak kita jalankan kempen dapat lihat penerimaan masyarakat begitu positif kita yakin insya-Allah kita akan berjaya,” ujar beliau. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib