Selamat Mengundi Untuk Pengundi Awal, Undilah BN Untuk Kestabilan Demi Kemakmuran

KUALA LUMPUR, 16 Nov – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengucapkan selamat mengundi kepada para pengundi awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bermula 8 pagi ini.

Sehubungan itu beliau mengharapkan rakyat agar mengundi Barisan Nasional (BN) untuk kestabilan demi kemakmuran.

“Saya juga ingin mengucapkan selamat mengundi kepada pengundi awal hari ini. Undilah BN untuk ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kesiapsiagaan jentera di Bilik Gerakan BN Pantai Kundor.

Turut bersama calon BN, Tuminah Kadi; Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

“Insya-Allah, jentera BN akan pastikan kerusi DUN Pantai Kundor kekal menjadi milik BN.”

Terdahulu dalam kenyataan melalui facebooknya, beliau menzahirkan keyakinan bahawa
PRN Melaka membuka peluang kepada rakyat untuk memilih parti BN yang sudah terbukti diuji dan teruji untuk mentadbir ke arah kestabilan negeri Melaka.

“Ini juga peluang kedua untuk pengundi yang marah dan kecewa kerana ditipu manifesto Pakatan Harapan (PH) dan sebagainya untuk kembali menyokong BN,” katanya.

Dilaporkan, hari ini proses pengundian awal yang menyaksikan 11,557 anggota polis, tentera dan pasangan mereka berlangsung di 31 Pusat Pengundian Awal (PPA) di 24 Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negeri sehingga 5.30 petang.

Proses pengundian berlangsung dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan SPR untuk mencegah penularan COVID-19.

Bagi mengelakkan kesesakan di tempat mengundi, empat slot waktu kehadiran mengundi ditetapkan dan pengundi boleh menyemaknya di aplikasi mySPR Semak atau Portal Semakan Daftar pemilih SPR.

Slot waktu yang ditetapkan adalah 8 hingga 10 pagi, 10 pagi hingga 12 tengah hari, 12 tengah hari hingga 2 petang dan 2 hingga 4.30 petang.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.