Kempen Secara Norma Baharu Bukan Penghalang, Kata Zahida
JASIN, 15 Nov – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan mengakui kesukaran untuk berkempen dalam norma baharu namun ianya diatasi sebaik mungkin untuk memastikan rakyat memahami pendekatan yang dibawa Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini.
Jelas beliau, kaedah kempen secara bersemuka dan maya adalah berbeza mengikut peringkat umur dan kawasan setempat.
“Sebab itu kita perlu juga kempen bersemuka sebab kalau di luar bandar kebanyakan tidak semua ada telefon pintar, kadang-kadang bukan sekadar telefon sahaja malah talian internet tidak sampai ke sesetengah tempat. Jadi memang agak sukar untuk golongan yang tidak menggunakan telefon pintar ini untuk kita dekati.
“Jadi kita masih perlu menggunakan kempen bersemuka tetapi berkempen dengan menjaga prosedur operasi standard (SOP) agak sukar kadang-kadang kesian kepada mereka macam warga emas mereka pun tidak biasa dengan telefon pintar ini.
“Cuma mungkin pendekatan kepada orang muda ini memang mengharapkan media sosial untuk mendapatkan informasi,” katanya.
Jelas Zahida, pasukannya juga fokus memainkan peranan berkempen melalui media sosial malah turut sama menggunakan lori dengan mendekati pengundi di kawasan perumahan.
“Macam kami Puteri banyak perkara yang dilakukan kami gunakan ‘group’ di Facebook masuk ke komuniti dalam kawasan taman untuk sampaikan informasi tentang calon dan kita ada juga lori untuk bergerak masuk ke kawasan perumahan untuk bercakap dan memperkenalkan calon.
“Jadi saya menyeru kepada semua pengundi di seluruh negeri Melaka khususnya di Dewan Undangan Negeri Rim pada 20 Nov keluarlah mengundi dan undi calon BN insya-Allah terbukti dari dahulu adalah parti yang terbaik yang menjaga kebajikan rakyat di seluruh negara,” ujar beliau. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib