Tuduh UMNO Tamak Kuasa… Jangan Mudah Terpengaruh Tohmahan Liar
MASJID TANAH, 9 NOV – Pelbagai dakwaan serta momokan oleh pihak tertentu terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka khususnya berkaitan soal pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini perlu ditapis sebaik mungkin oleh pengundi yang akan membuat pilihan pada 20 Nov depan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Suraya Yaacob berkata tohmahan liar seumpama itu kadangkala hanya untuk memesongkan fakta serta perkara sebenar dalam usaha mengelirukan pengundi sepanjang kempen PRN Melaka yang bermula semalam.
“Pada saya, saya agak kecewalah jika momokan sedemikian rupa. Yang sebenarnya tamak adalah individu yang telah melompat dan hilang keyakinan kepada kepimpinan kerajaan negeri pada masa itu. Jadi saya berharap rakyat Melaka memahami cerita yang sebenarnya
“Ini bukan tindakan parti tetapi individu. Kita tidak perlu berikan undi dan sokongan kepada mereka semula selepas ini,” katanya kepada UMNO-Online ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Pada PRN Melaka ini, terdapat pihak melontarkan tohmahan bahawa kononnya UMNO dan BN tamakkan kuasa sehingga berlakunya pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.
Suraya yang juga Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah seterusnya menambah rakyat Melaka tidak seharusnya mudah terperangkap dengan apa jua tohmahan sedemikian rupa.
“Tohmahan..saya tidak mahulah tohmahan seumpama ini dianggap perkara biasa. Saya harap rakyat faham… tohmahan adalah satu perkara yang tidak boleh dilakukan dan rakyat tidak boleh percaya dengan mudah sebarang tohmahan.
“Kita perlu buat verifikasi dan tengok media yang betul untuk mendapatkan cerita-cerita yang sebenar,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang itu. – UMNO Online
Oleh: Azman Abas