Wanita Beri Komitmen Penuh Menangkan Calon BN – Noraini

KUALA LUMPUR, 6 Nov – Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Noraini Ahmad memberi jaminan pihaknya akan memberi komitmen penuh untuk memastikan kemenangan bukan sahaja calon wanita, tetapi semua calon BN yang bertanding.

Ketua Wanita UMNO itu berharapkan segala perjuangan BN yang sentiasa komited untuk berjuang demi rakyat akan mendapat rahmat dan restu dari Yang Maha Esa.

Justeru itu tambahnya, Wanita BN mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan parti di atas kepercayaan meletakkan calon-calon baharu termasuk di kalangan wanita untuk mewakili gabungan ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Keberanian BN meletakkan lebih 85 peratus calon baharu pada PRN Melaka kali ini menunjukkan betapa BN mementingkan perubahan demi memastikan kemenangan pada PRN Melaka ini sekali gus sebuah kerajaan negeri yang stabil dapat ditubuhkan.

“Ini sekali gus selari dengan tema kempen BN pada kali ini iaitu untuk memastikan Kestabilan Demi Kemakmuran,” ujarnya yang juga Menteri Pengajian Tinggi dalam satu hantaran di Facebook.

Pagi tadi, Pengarah PRN Melaka yang juga Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan nama-nama calon BN di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

Lima calon BN yang mewakili kaum wanita adalah seperti Tuminah Kadi @ Mohd Hasim bagi DUN Pantai Kundor; Datuk Kalsom Nordin, DUN Pengkalan Batu; Leong Hui Ying, DUN Kesidang; Datuk Khaidhirah Abu Zahar, DUN Rim; dan Siti Faizah Datuk Abdul Azis bagi DUN Sungai Rambai. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.