Harapan Wanita, Wanita Bahagia: Teras Kebahagiaan Keluarga Malaysia – Norshida
KUALA LUMPUR, 27 Okt – Wanita UMNO mendesak kerajaan perlu memperkasakan kepada pembangunan wanita dalam usaha memulihkan kemajuan negara.
Ujar Ketua Penerangannya Datuk Norshida Ibrahim, kerajaan tidak boleh menafikan bahawa sumbangan wanita dalam sektor ekonomi, khususnya pekerjaan telah memberi impak yang besar terhadap perkembangan ekonomi negara.
“Melalui peningkatan tenaga kerja wanita di Malaysia mampu meningkatkan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sebanyak 0.4 peratus setiap tahun dan ianya amatlah signifikan dan perlu diperhalusi serta diperkasakan.
“Belanjawan Keluarga Malaysia 2022 melihat aspek, membahagiakan wanita meliputi tiga aspek iaitu ekonomi, kepimpinan dan sosial,” ujarnya dalam satu kenyataan di Facebooknya.
Jelasnya lagi, mengapa perlu membahagiakan wanita adalah kerana teras kebahagiaan sebuah keluarga adalah wanita dan begitu juga Keluarga Malaysia.
“Buat masa ini, kita sedang merentasi kehidupan melalu fasa Pelan Pemulihan Negara ini, kita dapat lihat dan perlu akui bahawa faktor keterbatasan dalam pelbagai sektor menyediakan peluang pekerjaan yang terhad menyebabkan ramai wanita sekarang ini mengambil langkah drastik untuk berniaga secara atas talian dan berniaga kecil-kecilan bagi menampung kos keperluan harian keluarga.
“Itu belum kita melihat dari segi wanita yang menjadi ketua keluarga untuk menyara hidup tanpa sokongan suami yang mungkin telah meninggal dunia atau bercerai menyebabkan mereka ini sangat memerlukan bantuan dan sokongan kerajaan dalam fasa ini.
“Kita amat prihatin terhadap wanita yang mengambil alih tugas ketua keluarga ini dan kebanyakan malu untuk meminta-minta tetapi hakikatnya mereka sangat memerlukan sokongan dan dokongan daripada kerajaan,” kata Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat itu lagi.
Oleh itu tambah Norshida, dicadangkan agar kerajaan boleh melihat semula cadangan penubuhan pusat transformasi usahawan wanita di setiap negeri dengan menggunakan model holistik Pasarnita yang menawarkan ruang niaga dan melebarkan jaringan perniagaan serta khidmat nasihat keusahawanan selain mempamerkan produk dan jenama.
“Kerajaan juga perlu memudah cara proses pemerolehan pinjaman golongan ‘wanita tunggal’ dengan memberi kebenaran menggabung pendapatan dengan adik-beradik atau ibu bapa yang layak.
“Pihak kerajaan juga perlu menggerakkan usaha menyokong secara serius dan bersepadu menggalakkan wanita menjana pendapatan kedua dengan memudahkan syarat pinjaman mikrokredit untuk usahawan wanita yang menjalankan perniagaan separuh masa.
“Selain itu pihak kerajaan perlu menyemarakkan latihan vokasional atau TVET wanita dan ibu tunggal dengan mewujudkan jaringan kerjasama bersama universiti, politeknik dan Institut Kemahiran MARA (IKM),” katanya.
Seterusnya ulasnya lagi, Wanita UMNO juga berharap kerajaan Keluarga Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob boleh menjamin sekurang-kurangnya 30 peratus keanggotaan Dewan Negara disandang wanita melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan.
“Kerajaan juga perlu serius memperluas penglibatan dan peluang wanita sebagai pembuat keputusan kepada sekurang-kurangnya 30 peratus dalam semua sektor.
“Justeru itu, kerajaan perlu mempelbagaikan inisiatif-inisiatif dalam membuka ruang yang lebih fleksibel kepada wanita supaya sumbangan dapat salurkan kepada yang memerlukan di peringkat bawah,” katanya.
Tambahnya lagi, kerajaan juga perlu memberikan ruang yang lebih holistik kepada wanita dalam sektor pekerjaan supaya sumbangan mereka turut dapat disalurkan dalam pembangunan negara. – UMNO ONLINE