PRN: PPBM Jadi Pemecah Undi, Bukan UMNO – Ahmad Maslan

TANGGA BATU, 24 Okt – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berpandangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang menjadi pemecah undi berdasarkan penubuhan parti itu yang berasal daripada serpihan UMNO.

Katanya, tidak benar untuk mendakwa UMNO seperti itu sedangkan parti keramat ini konsisten membawa perjuangan rakyat meskipun berdepan pelbagai cabaran.

“Kita sudah lama dalam perjuangan UMNO/Barisan Nasional (BN)… mereka khususnya Bersatu (PPBM) adalah parti baharu dan kita pun sudah lama di satu-satu tempat itu tapi mereka yang datang.

“Pada saya bukan kita yang jadi pemecah undi Bersatu misalnya adalah yang melawan UMNO sebelum ini pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) jadi takkan mereka tidak ingat sejarah-sejarah itu sedangkan ianya diingati oleh ahli UMNO.

“UMNO ini adalah parti yang menjadi induk di mana lahirnya parti-parti lain selepas itu
dan parti yang lahir itu adalah parti baharu malah UMNO sejak dari dahulu sentiasa padu untuk memperjuangkan nasib agama, bangsa dan tanah air sejak sekian lama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di bilik gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Terendak di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang yang turut dihadiri oleh Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Terdahulu beliau juga turut berkesempatan ke PDM Kampung Gelam di DUN Pantai Kundur dan meluahkan kepuasan hati beliau melihat segala persiapan telah dilaksanakan untuk menuju ke Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Ini memberi satu kegembiraan di hati saya bahawa UMNO ini diperingkat bahagian, DUN dan PDM memang sudah bersedia untuk menghadapi PRN yang akan diadakan 20 Nov ini.

“Jentera UMNO/BN ini teratur ada di pusat, negeri, bahagian, cawangan teratur dari segi penyusunan jentera malah saya selaku Setiausaha Agung ingin melihat supaya terus disiap-siagakan,” ujar beliau – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.