Jadikan PRU Lalu ‘Pengalaman Bermakna’ Hasilkan Ramuan Berdepan PRN Melaka– Razak

KOTA MELAKA, 21 Okt – Penerangan UMNO Melaka bersiap sedia sepenuhnya untuk berdepan Pilihan raya Negeri (PRN) yang akan diadakan pada 20 November nanti dengan pelbagai gerak kerja mula disusun sebaik mungkin.

Ketuanya, Datuk Abd Razak Abd Rahman berkata pada dasarnya apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membuat pengumuman mengenainya, sudah pasti pelbagai pihak khususnya Penerangan UMNO Melaka sendiri telah mengambil langkah-langkah yang perlu serta sewajarnya.

Menurut beliau dalam keadaan hari ini jentera penerangan pelbagai peringkat telah mula bergerak dengan kapasiti masing-masing dalam usaha membantu parti mencapai kemenangan pada PRN nanti.

“Pengalaman Pilihan raya Umum (PRU) lalu akan dijadikan garis panduan serta garis sempadan untuk ditambah baik dengan pelbagai pendekatan dalam usaha memastikan bukan sahaja gerak langkah yang akan dilaksanakan kelak malah info yang disalurkan tepat serta meyakinkan rakyat.

“Apatah lagi dalam keadaan semua jentera parti pelbagai peringkat telah melihat serta merasai bagaimana kaedah serta pendekatan yang dilakukan oleh pihak lawan semasa PRU lalu, maka sudah pasti ia memberi sedikit pengalaman untuk mendepani pelbagai isu baik yang akan ditimbulkan oleh pihak lawan nanti,” katanya kepada UMNO-Online.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 16 November dengan tempoh berkempen pula adalah 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon sehingga jam 11.59 malam pada 19 November.

Abd Razak yang juga Ketua UMNO Kota Melaka seterusnya menambah pihaknya telah mengenalpasti beberapa perkara dan isu yang dijangka akan dimainkan nanti, namun pihaknya juga telah merangka untuk tanganinya sebaik mungkin.

Tambah beliau lagi apa-apa pun pihaknya menunggu langkah selanjutnya daripada pucuk pimpinan sebelum meneruskan gerakan seterusnya bagi memastikan kesinambungan antara satu dengan yang lain.

“Kita akan tunggu langkah seterusnya daripada pucuk pimpinan apa bentuk dan kaedah serta kita juga akan meneliti SOP yang akan dikeluarkan oleh pihak SPR serta agensi berkaitan yang lain,” tambahnya.

PRN Melaka perlu diadakan selepas SPR menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka penggal ke-14.

Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum itu mengumumkan DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober selepas dipersetujui Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu susulan tindakan empat Ahli DUN (ADUN) iaitu Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.– UMNO Online.

 

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.