Golongan Pelajar Adalah Aset Dan Permata Negara – Ahmad Jazlan
MACHANG, 2 Okt – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menyantuni pelajar-pelajar institut pendidikan tinggi awam/swasta (IPTA/S) serta pelajar Pra-U antaranya dari tingkatan enam rendah dan enam atas.
Katanya, ini bukan kali pertama pihaknya mengadakan program dan membantu pelajar tetapi sebelum ini dalam situasi yang berbeza.
“Bagi saya golongan ini adalah golongan yang amat bermakna untuk negara, aset negara dan permata negara.
“Pelajar-pelajar ini akan menentukan masa depan negara dan kita tidak mahu masa depan pembelajaran mereka terganggu ataupun terjejas dan kita sedar walaupun perbelanjaan untuk membeli data bukanlah semahal mana tetapi bagi yang tidak berkemampuan sangat bererti bagi mereka,” katanya kepada UMNO Online selepas ditemui pada majlis penyerahan sumbangan kepada pelajar IPTA/S dan Pra-U di sini, Jumaat.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Machang, Wan Mohd Adnan Wan Aziz, Setiausaha UMNO Bahagian Machang,Hussin Awang, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Machang, Mohd Fakaaruddin Ismail dan Presiden Persatuan Siswa Machang (PEMANCAR) Ali Syariati Ab Wahab.
Seterusnya, Ketua UMNO Bahagian Machang itu juga bersyukur program tersebut mencapai sasaran dengan memberi bantuan kepada 3,500 pelajar.
“Bagi UMNO Machang, akan tetap meneruskan program membantu pelajar-pelajar ini untuk tahun-tahun yang akan datang,” katanya.
Tambah Ahli Parlimen Machang itu lagi, dalam suasana pandemik COVID-19 melanda negara, sudah tentulah semua peringkat keluarga dari masyarakat luar bandar juga terkesan daripada segi mata pencarian.
“Sebahagian besar dari mereka ini adalah mendapat gaji harian, kalau ada kerja… adalah gaji pendapatan, kalau tidak ada kerja tidak adalah pendapatan.
“Selaku wakil rakyat saya tidak boleh memilih sama ada keluarga yang berada atau pun tidak,” katanya lagi.
Dalam pada itu tambah Ahmad Jazlan, UMNO Bahagian Machang selalu mengadakan program-program untuk meringankan beban bagi ibu-ibu tunggal yang tinggal di Machang.
“Kita juga ada mengadakan program untuk membantu ibu-ibu tunggal yang mempunyai tanggungan dan UMNO Bahagian sentiasa memberikan bantuan berupa keperluan asas barang-barang dapur seperti beras, minyak dan sebagainya untuk keluarga miskin.
“Pada fasa satu COVID-19 lalu, UMNO Bahagian Machang telah mengagihkan barang-barang keperluan asas kepada seluruh isi rumah di Parlimen Machang walaupun sudah hampir dua tahun COVID-19 melanda namun UMNO Bahagian Machang tidak pernah mengenepikan program ini.
“Kesusahan rakyat sememangnya menjadi perhatian dan tanggungjawab, sebab itulah UMNO Bahagian Machang tidak mempunyai masalah yang banyak untuk mendapat permasalahan di setiap akar umbi dan ianya dikemukakan kepada Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Machang serta mempunyai satu pasukan untuk tujuan yang berkaitan,” ujarnya. – UMNO Online