RMK-12 Garis Panduan Wujudkan Rakyat Lebih Berdaya Saing – Azhari

KUALA LUMPUR, 28 Sept – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam Datuk Azhari Shaari berkata Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan garis panduan atau dasar terbaik mewujudkan rakyat Malaysia yang lebih berdaya saing.

Menurut beliau, dengan matlamat ‘Keluarga Malaysia’  iaitu  ‘Makmur, Inklusif dan Mampan’, RMK-12 dilihat sebagai satu dasar yang membolehkan semua rakyat menikmati taraf hidup yang lebih baik.

“Sasaran menjadi negara berpendapatan tinggi pada 2025 rakyat Malaysia sudah pasti mampu mendapat kualiti kehidupan yang diimpikan. Semua strategi dan inisiatifnya juga sejajar dengan Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan, yang dipersetujui oleh semua ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2015.

“Saya melihat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beriltizam menjadikan RMK-12 sebagai pelan pembangunan menyeluruh yang akan memperkenalkan beberapa pembaharuan, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil yang lebih saksama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Tambah beliau, pada pasca pandemik COVID-19 sudah pasti bidang ekonomi diberi tumpuan yang mana di dalam RMK-12, pengagihan ekonomi akan dilakukan melibatkan pembaharuan tertentu.

“Pembaharuan yang dijelaskan Perdana Menteri adalah untuk menangani beberapa cabaran struktur ekonomi, menyediakan tenaga kerja masa hadapan, meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia dan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah. Ini juga bagi memastikan pelaksanaan kaedah yang lebih berkesan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Sehubungan itu kita sebagai rakyat Malaysia percaya bahawa RMK-12 dapat melonjakkan negara menjadi negara berpendapatan tinggi dan diharap tiada siapa yang tercicir dalam arus perubahan yang ditetapkan dalam RMK-12, insya-Allah,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit