Pendidikan Bina Masa Depan Anak-anak Orang Asli – Ramli
KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ramli Mohd Nor menyifatkan pendidikan membuka peluang lebih luas kepada anak-anak masyarakat Orang Asli untuk membina masa depan yang lebih baik.
Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata tawaran melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi membuktikan potensi besar yang dimiliki mereka.
“Alhamdulillah, saya berkesempatan bertemu dan menyantuni anak-anak muda masyarakat Orang Asli dari Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kemar di Gerik yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi.
“Antaranya ialah Ettin Naslin a/p Si Kumar dari Kampung Badak, RPS Kemar yang sedang mengikuti pengajian Diploma pengajian perniagaan di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Muadzam Shah, serta Arnijasica bt. Yusop dari Kampung Katong, RPS Kemar yang sedang melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Sains Malaysia (USM),” katanya.
Dr Ramly berkongsi pertemuan tersebut menerusi satu hantaran di Facebook, turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan pencapaian kedua-dua pelajar berkenaan sebagai inspirasi kepada generasi muda masyarakat Orang Asli, khususnya di RPS Kemar.
Katanya kejayaan berkenaan wajar dijadikan contoh kepada generasi muda masyarakat Orang Asli untuk terus berusaha mencapai cita-cita.
“Kejayaan dan kesungguhan mereka dalam menuntut ilmu merupakan satu inspirasi serta bukti bahawa anak-anak masyarakat Orang Asli mempunyai potensi besar untuk mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang.
“Semoga terus tekun menimba ilmu, mencapai kejayaan dan menjadi inspirasi kepada generasi muda di RPS Kemar.
“Insya-Allah, pendidikan yang kukuh akan menjadi asas kepada pembentukan masa depan yang lebih cerah serta membuka ruang lebih luas untuk anak-anak masyarakat Orang Asli terus maju dan berjaya,” ujar beliau. – UMNO Online
