Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat… Perkasa Keperluan Rakyat DUN Rembia

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat menjadi wadah untuk pemimpin terus mendampingi dan memperkasa keperluan rakyat khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memaklumkan beliau telah berpeluang untuk menyantuni rakyat menerusi program tersebut termasuklah menyampaikan bantuan kepada yang memerlukan.

“Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Rembia menjadi wadah saya untuk terus mendampingi dan memperkasa keperluan rakyat khususnya di DUN Rembia.

”Bersama Penyelaras DUN Rembia, Datuk Fairul Nizam Roslan, saya menyantuni waris mendiang Ravisalven dan menyampaikan sumbangan Khairat Kematian Bukan Islam, sebelum meneruskan Program Ziarah Kasih di Taman Seri Pengkalan untuk menyantuni serta menyampaikan bantuan secara langsung kepada sepuluh buah keluarga, melibatkan sumbangan wang tunai berjumlah RM3,400,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka turut berkesempatan untuk meninjau projek pembinaan ambatan baharu di Kampung Bukit Hantu.

“Di Kampung Kelemak, saya dan pimpinan Kerajaan Negeri bertemu Sawiyah Husin, penerima bantuan rumah baharu menerusi Program Melaka Rumahku berjumlah RM70,000, di samping menyerahkan sebuah kerusi roda untuk memudahkan urusan hariannya.

“Di Kampung Bukit Hantu pula, saya meninjau projek pembinaan jambatan baharu bernilai RM191,000 untuk menjamin keselamatan dan memudahkan pergerakan harian penduduk setempat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Melaka sentiasa menjalankan amanah yang diberikan tanpa mengambil kira perbezaan politik.

“Di sebalik sebuah rumah yang dibina, ada keluarga yang memperoleh tempat berteduh. Di sebalik sebuah jambatan yang disiapkan, ada perjalanan rakyat yang menjadi lebih selamat.

“Perbezaan politik tidak sesekali menjauhkan tanggungjawab kerajaan kepada rakyat. Bagi Kerajaan Negeri Melaka, sebaik sahaja amanah pentadbiran diberikan, rakyat Melaka wajib dibela, disantuni dan diberikan perkhidmatan sebaik-baiknya. Melaka Sayang Rakyat!” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO